11 Rahsia Anak Hebat 04/21/2012
11 Rahsia Anak Hebat Oleh:
Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad drasmadi@maptraining.com.my www.tengkuasmadi.com www.facebook.com/drasmadi Selama tujuh belas tahun menjalankan program motivasi bagi para pelajar dan setelah lebih seratus ribu pelajar yang menyertai program-program yang dijalankan maka didapati anak hebat melakukan sesuatu (sama ada mereka sedar atau tidak) yang tidak dilakukan oleh anak-anak biasa. Apabila kita bertanya kepada anak ini apa rahsia kehebatannya maka dia sendiri sukar menjelaskannya. Sebab itu bukan bidangnya. Namun, cara fikir, sikap, tingkah laku, tindakan serta cara mereka memberi reaksi kepada sesuatu perkara amat berbeza berbanding anak-anak yang biasa pencapaiannya. Malah anak hebat kelihatan lebih berdisiplin, punya wawasan, ada sasaran, matang berfikir, mudah bergaul, seimbang hidupnya, bagus akhlaknya serta taat agamanya. Dia bukan sahaja disenangi oleh gurunya tetapi dalam masa yang sama disukai oleh rakan-rakannya. Anak-anak sebegini cemerlang dalam akademiknya dan ko kurikulum lalu seringkali ditabalkan sebagai tokoh pelajar oleh guru dan pihak sekolah. Ibu bapa pasti bangga jika anak mereka termasuk dalam kategori ini. Jadi, apa yang ada pada anak ini dan tiada pada anak-anak yang lain? Ada ketikanya anak hebat ini datangnya dari keluarga biasa sahaja. Malah ada diantara mereka anak yatim yang sudah ketiadaan ayah. Ada juga yang datang dari keluarga mangsa penceraian. Pendek kata persekitaran, keadaan keluarga, kesusahan dan kemiskinan tidak menjejaskan dirinya untuk lahir sebagai insan hebat. Rahsia pertama: Anak hebat punya matlamat yang jelas dan tidak sanggup berkompromi dalam merealisasikan matlamatnya itu. Apabila ditanya apa cita-citanya apabila dewasa nanti, anak hebat boleh memberikan jawapan dengan pasti akan cita-citanya itu. Matlamatnya cukup jelas. Malah dia tahu kenapa dia mahu mencapai cita-citanya itu dan untuk apa. Dia cukup yakin bahawa hanya faktor masa sahaja yang menghalangnya mencapai cita-citanya sekarang. Namun satu hari, ia pasti menjadi kenyataan. Rahsia kedua: Anak hebat pentingkan pelajarannya. Dia tahu hanya pelajaran sahaja yang membolehnya mencapai semua cita-citanya. Sebab itulah anak hebat sentiasa memberikan tumpuan dalam kelas, menyiapkan semua kerja sekolah yang diberikan dan mengulangkaji pelajarannya. Malah anak hebat menyertai program motivasi luar bagi mendorong dirinya dan memantapkan teknik dan kemahiran belajarnya. Rahsia ketiga: Anak hebat tidak malu mengakui kelemahannya dan meminta bantuan bagi mengatasi kekurangannya itu. Anak hebat sedar bahawa tidak semua orang tahu semua perkara. Dia juga sedar bahawa setiap orang memiliki kehebatan, bakat serta kebolehan yang berbeza-beza. Menyedari akan perkara ini maka anak hebat sentiasa mencari bantuan bagi mengatasi setiap kelemahannya itu. 3 Comments Sayangi Anak Kita 04/21/2012
This is your new blog post. Click here and start typing, or drag in elements from the top bar. Sayangi Anak Kita Oleh:
Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad drasmadi@maptraining.com.my www.tengkuasmadi.com www.facebook.com/drasmadi SEMUA ibu bapa mahukan anak-anak berjaya menjalani kehidupan di dunia dan akhirat. Mereka juga mengharapkan anak menghormati ibu bapa, menjaga solat, berbudi bahasa, rajin, berpelajaran dan berkerjaya. Menurut Perunding Motivasi MAP Training, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, jika kita mahukan anak-anak yang hebat, ibu bapa perlu menjadi manusia hebat yakni tidak jemu berkorban untuk anak-anak. Pertama, pengorbanan masa untuk anak-anak kerana bagi mereka nilai sebuah kasih sayang itu diukur daripada nilai masa yang diluangkan bersama. “Ini kerana ada ketika anak ingin sampaikan atau ceritakan sesuatu tanpa kehadiran adik-beradik lain,” katanya. Kebanyakan ibu bapa melakukan kesilapan dengan tidak meluangkan masa bersama anak-anak sebelum berdepan dengan permasalahan. Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia, berkata jangan hanya sedar kesilapan apabila anak-anak bermasalah. “Ketika itu keadaan sukar untuk dikawal dan pemikiran anak sudah terbentuk dengan pelbagai andaian serta persepsi negatif. “Sebelum nasi menjadi bubur berikan masa yang cukup untuk bersama dengan anak-anak. “Ambil tahu perkembangan mereka, persekolahan, kawan-kawan, hobi dan segalanya berkaitan kehidupan mereka,” katanya. Bina Keberanian Dalam Diri Anak 03/01/2012
Oleh:
Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad drasmadi@maptraining.com.my www.tengkuasmadi.com www.facebook.com/drasmadi Anak-anak yang berjaya di sekolah sama ada dalam pelajaran atau ko-kurikulum adalah mereka yang ada keberanian. Berani mencapai kecemerlangan, bercakap di depan orang ramai, bergaul, bertanya apabila tidak faham, menjadi ketua, memegang jawatan, mewakili kelas atau sekolah dan sebagainya. Apabila anak-anak menunjukkan keberanian maka mereka akan diberikan pelbagai peluang. Mereka yang aktif di alam persekolahan adalah kerana mereka berani untuk melibatkan diri dalam kelas serta program yang dianjurkan. Dengan keberanian mereka mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan. Semua ini sangat membantu anak-anak di alam dewasa nanti. Bayangkanlah, ketika anak orang lain sudah boleh berdikari sana sini, anak kita hendak bertanya sesuatu pada cikgu pun masih minta orang lain temankan. Ketika anak orang lain berani ikuti program-program perkemahan, anak kita tidak mahu turut serta sebab tiada kawan. Sebab itulah anak-anak perlu ditanam dengan sifat berani pada usia yang seawal mungkin. Berani bukanlah sesuatu yang hadir ketika lahir sebaliknya sifat ini terhasil bergantung kepada cara ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu tahu cara terbaik menjadikan anak-anak mereka seorang yang berani secara bertempat. Sebab kita tidak mahu pula apabila anak menjadi berani tidak bertempat lalu dia melawan dan biadap dengan guru, merempit dan menyertai lumba haram, mencuri, memukul, bergadul dan sebagainya. Sebab kelakuan negatif sebegitu juga memerlukan satu bentuk keberanian. Berikut adalah beberapa tip yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menjadikan anak-anak seorang yang berani: 1) Usah cepat membantu anak dalam pelbagai perkara. Semua ibu bapa sayangkan anak-anaknya. Tetapi usah jadikan rasa sayang sebagai alasan untuk cepat membantu mereka. Bukanlah salah membantu anak-anak kita tetapi ada ketikanya anak-anak perlu diberikan peluang mencuba dan melakukan kesilapan. Dari kesalahan dan kesilapan inilah mereka belajar. Ketika anak masih bayi, apabila dia mula pandai berjalan maka dia mula belajar naik tangga. Biasanya ibu bapa akan terus dukung anaknya dan bawa naik ke tingkat atas sebab takut anak jatuh. Ibu bapa yang prihatin sebaliknya akan mengawasi dan membiarkan anak-anaknya menapak satu anak tangga ke anak tangga yang lain. Dari situ anak itu belajar. 10 Peranan Ibu Bapa Menjelang Peperiksaan 11/15/2011
Oleh:
Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad, Ph.D Perunding Motivasi MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd. Musim peperiksaan menjelang lagi. Disaat begini ibu bapa biasanya lebih bimbang berbanding anak-anak. Diantara ibu dan bapa pula, ibulah yang lebih gemuruh berbanding bapa. Sebagai seorang bapa, saya memahami perasaan dan tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa. Malah saya baru sahaja mampu bernafas lega apabila anak yang sulung kini selesai peperiksaan UPSRnya. Memang pengalaman mendidik anak orang dengan mendidik anak sendiri cukup berbeza. Jangan pula kerana tekanan yang kita rasakan dan harapan yang kita letakkan terhadap seorang anak, membuatkan kita kelam kabut hingga lupa apa yang patut dilakukan disaat menjelangnya peperiksaan. Salah pendekatan kita maka anak yang akan menerima akibatnya kelak hingga tanpa disedari menjejaskan prestasi peperiksaannya. Saya teringat bagaimana tahun lepas seorang pelajar motivasi saya telah menelefon dan menangis sedangkan PMR hanya tinggal 10 hari sahaja lagi. Setelah ditenangkan, maka dia beritahu saya bagaimana tertekannya dia apabila ibu bapa terus mengherdik, menekan dan memarahinya kerana dia hanya memperolehi 3A sahaja dalam peperiksaan percubaannya. Dia rasa dia telah gagal sebagai seorang anak dan tidak yakin untuk berhadapan dengan PMR yang sebenar. Nasib baiklah dia sempat mengadu dan meminta bantuan. Bagaimana pula dengan ratusan ribu pelajar lain yang tidak mempunyai tempat untuk mengadu? Sebab itulah kita sebagai ibu bapa mesti tahu apa persediaan yang perlu dibuat untuk kecemerlangan anak-anak menjelangnya peperiksaan. 1. Fahami Tekanan Yang Dihadapi Oleh Anak Bukan sahaja ibu bapa yang bimbang, anak-anak juga sebenarnya bimbang. Mungkin ada diantara mereka tidak begitu menunjukkan kebimbangan tetapi ia dapat dilihat dari segi perubahan sikap dan tingkah laku mereka. Ada anak-anak yang rungsing lalu tidak berselera makan tetapi ada pula yang menjadi terlalu kuat makan. Ada yang tidak boleh tidur tetapi ada pula yang semakin kuat tidurnya. Ada yang murung, marah-marah, sensitif dan sebagainya. Sememangnya perasaan bimbang boleh menyebabkan berlakunya perubahan sikap dan tingkah laku ini. Sebagai ibu bapa, kita mesti peka terhadap perubahan ini dan cuba sedaya upaya mengurangkan tekanan tersebut dengan lebih memahami mereka. Katakan kepada mereka dengan jelas bahawa apa yang kita harapkan dari mereka hanyalah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka. Jelaskan kepada mereka kecemerlangan akademik bukan hanya satu-satunya syarat untuk mereka hidup cemerlang di dunia Allah ini. Apabila tinggal beberapa hari lagi untuk menghadapi peperiksaan, elakkan dari menyuruh mereka menjawab terlalu banyak soalan-soalan yang mereka tidak ketahui penyelesaiannya kerana ini akan membuatkan mereka rasa tidak bersedia. Keyakinan diri mereka akan tergugat dan ini akan menjejaskan prestasi mereka dalam menjawab soalan-soalan yang mereka sedia ketahui. Beri Masa Demi Anak 08/10/2011
Semua ibu bapa berkata mereka sayangkan anak, tetapi mengapa si kecil tidak berasakan demikian? Kesibukan ibu bapa menyebabkan masa diluangkan dengan anak terbatas. Anak yang cemerlang mempunyai hubungan kekeluargaan erat dan ibu bapa banyak meluangkan masa dengan mereka. Lebih banyak masa bersama ibu bapa, semakin dirasakan kasih sayang itu. Tiada sesiapa boleh menggantikan kehadiran ibu bapa. Wang ringgit tidak boleh membeli kebahagiaan anak.
Kerap kali ibu bapa cuba menggantikan masa dengan kebendaan dan kewangan. Mereka belikan apa saja yang anak mereka mahukan. Mereka berikan wang setiap kali dipinta. Namun, ia hanya menjadi keseronokan seketika sedangkan jiwa mereka kosong dengan kasih sayang. Ini bukanlah bermakna anak yang terbiar tiada yang berjaya. Tetapi, apabila keharmonian keluarga terjejas dan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerja dan urusan masing-masing, disiplin anak terbiar. Mereka malas menyiapkan kerja sekolah, ponteng kelas agama, salah pilih kawan, buang masa dengan permainan video dan asyik berinternet. Berikut perkara yang perlu ibu bapa lakukan bagi memastikan anak mereka cemerlang dunia dan akhirat. LUANG LEBIH MASA BERSAMA ANAK 08/10/2011
Artikel ini adalah wawancara wartawan dengan Dr. Tengku Asmadi dan telah diterbitkan dalam Harian Metro, Rabu, 19 Mac 2008.
Oleh Noriah Idris noriah@hmetro.com.my ADA yang bertanya mengapa wujudnya istilah ‘jiwa kosong’ dalam diri anak? Apakah ibu bapa terlalu menumpukan perhatian mengejar kebendaan sehingga mengabaikan anak? Ada pihak menyalahkan bapa yang terlalu tegas atau garang sehingga anak tiada masa menikmati zaman kanak-kanak. Bagi ibu bapa bekerja, mereka hanya mempunyai lima hingga 10 minit berkomunikasi dengan anak. Bakinya, apabila ibu bapa pulang ke rumah, anak masuk ke bilik masing-masing. Anak pula terperap di bilik dan tidak berlaku proses komunikasi antara ayah dengan anak. Ini menyebabkan hubungan antara anak dengan ibu bapa semakin renggang. Apabila kemesraan tiada, senang bagi anak mencari rakan sebaya di luar sehingga mengundang pelbagai masalah lain. Bagaimana Merangsang Anak Solat? 08/05/2011
Hasil tulisan: Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad. (Hak Cipta Terpelihara 2011 @ MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd.) Hari ini saya menerima satu soalan dari pengunjung blog yang bertanya bagaimana cara bagi kita mendidik anak supaya solat. Oleh itu saya mengambil kesempatan menjawab soalannya melalui artikel yang ditulis ini bagi memudahkan orang lain memanfaatkannya juga. 1) Ibu bapa mesti menjadi contoh dahulu. Mudah sahaja, ibu bapa yang bersolat pasti mampu merangsang anak-anak rajin bersolat. Sebaliknya ibu bapa yang liat atau tidak solat maka anak-anak berkemungkinan akan mengikuti jejak langkah yang sama. Bagi anak-anak yang kecil, iaitu usianya antara 1 hingga 6 tahun maka cukuplah kalau mereka sekadar memerhatikan kita bersolat atau ikut sama solat tetapi main-main. Kita baru rukuk dia sudah pun sujud. Kita belum habis lagi dia sudah pun beri salam dan bermain. Tidak perlu bertegas atau berkeras. Usah sampai dia rasakan solat itu satu hukuman. Biarkan sahaja dia begitu sebab yang penting dia nampak kita bersolat. Anak-anak lebih percaya apa yang dia lihat daripada apa yang kita cakap. Malah 80% didikan adalah melalui tauladan bukannya melalui perkataan. Tauladan maknanya apa yang anak kita nampak dilakukan oleh kita setiap hari. Raja Istighfar 08/04/2011
Raja IstighfarAllahumma anta Rabbi la ilaha illa anta khalaqtani, wa ana ‘abduka wa ana ‘ala ‘ahdika ma-statha’tu, a’udzu bika min syarri ma shana’tu, abu’u laka bini’matika ‘alayya wa abu’u bidzanbi fa-gfir li, fainnahu la yaghfirudz-dzunuba illa anta Artinya Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, yang tiada Tuhan pantas disembah melainkan Engkau. Tuhan yang telah menciptakan diriku. Aku adalah hamba-Mu dan aku ada dalam perjanjian-Mu, yang dengan segala kemampuanku aku laksanakan perintah-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dari segala perbuatan buruk yang aku lakukan kepada-Mu. Engkau telah mencurahkan nikmat-Mu kepadaku, sedangkan aku senantiasa berbuat dosa. Ampunilah dosaku karena tidak ada yang dapat mengampuni dosa kecuali Engkau. (HR. Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah, dan Hakim) (Hadis Riwayat al-Bukhari (no. 6306, 6323), Ahmad (4/122, 125), dan an-Nasa’I (8/279-280) dari Syaddad bin Aus radhiyallahu ‘anhu) Rasulullah membiasakan membaca doa itu dan beliau menyebutkan sebagai Sayyidul Istighfar atau Raja Istighfar. Bahkan, Rasulullah menegaskan, barangsiapa yang membaca sayyidul istighfar pada sore hari dan hamba Allah itu meninggal pada malam harinya hingga terbit matahari ia berhak masuk surga. Barangsiapa yang membaca sayyidul istighfar pada malam hari, kemudian hamba Allah itu meninggal pada siang hari (mulai matahari terbit hingga terbenamnya) ia berhak masuk surga. Puasa Lahir Pelajar Bijak 08/03/2011
Oleh: Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad NOTA: Artikel ini telah disiarkan dalam Harian Metro, Sabtu, 30 Julai 2011 Azali Azlan adalah seorang pelajar Sek. Men. Agama di Yan, Kedah, yang telah menjadi pelajar cemerlang dalam keputusan SPM Tahun 2007 dengan mendapat 21A. Apabila ditanya rahsia kecemerlangannya Azali Azlan menjelaskan bahawa beliau banyak berpuasa, minum susu, makan kurma dan madu. Malah ramai lagi pelajar yang mengamalkan berpuasa apabila berdepan dengan tahun peperiksaan. Hasilnya, pelajar-pelajar ini menjadi pelajar yang cemerlang. Kebetulan bulan Ramadan datang sebelum tibanya peperiksaan penting iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM. Para pelajar perlu merebut peluang ini sebaik-baiknya dan membetulkan persepsi masing-masing bahawa datangnya bulan Ramadan sebelum bulan peperiksaan merupakan satu rahmat dan kelebihan. Puasa memberikan kita lebih fokus. Apabila seorang pelajar itu menjaga puasanya bermakna dia tidak akan membuang masa melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti menonton televisyen, melayari internet, bersembang, melepak dan sebagainya. Dengan mengurangkan gangguan-gangguan sebegini pelajar akan mudah untuk fokus kepada pelajarannya. Biasanya, apabila bulan puasa tiba anak-anak lebih gemar berada di rumah berbanding di luar. Ini membolehkan mereka menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberikan oleh guru dan mengulangkaji pelajaran. Puasa juga memberikan kelebihan kepada fizikal dan mental seseorang dan ini meningkatkan kemampuan pelajar untuk memahami, mencerap, mengolah dan mengingat setiap apa yang dipelajari. Puasa memberikan kita lebih masa. Biasanya, dalam bulan Ramadan semua orang memulakan masanya lebih awal. Malah waktu persekolahan juga dipendekkan dengan pelajar-pelajar dibenarkan pulang lebih awal dari biasa. Tambahan pula pelajar tidak perlu bergegas ke kantin untuk makan pagi dan tengahari. Ini memberikan lebihan masa kepada para pelajar dan jika pelajar bijak memanfaat dan mengurus masanya maka dia akan mempunyai banyak masa bagi mengulangkaji pelajarannya. Kelebihan seperti ini tidak ada pada bulan-bulan biasa oleh itu manfaatkanlah Ramadan sebaik-baiknya. Perut yang kenyang merangsang rasa malas dan mengantuk. Pada bulan-bulan biasa pelajar cenderung untuk makan dengan banyak pada waktu tengahari dan mengantuk serta malas di waktu petang. Malah ramai juga pelajar yang mengantuk dan malas meskipun masih lagi berada diwaktu pagi. Perut yang kenyang adalah antara penyebab kepada masalah malas dan mengantuk ini. Dengan berpuasa, masalah ini dapat diatasi. Puasa akan memberi kesegaran pada otot-otot dan akan membuat anda sihat, segar dan bertenaga. Bulan Ramadan memudahkan kita bangun awal. Waktu belajar yang paling sesuai adalah di awal pagi. Oleh itu pelajar digalakkan untuk tidur awal dan bangun seawal jam 4.00 pagi. Apabila bangun, buatlah solat tahajud dan solat hajat kemudian mulalah menelaah pelajaran. Bangun di awal pagi memberikan pelajar beberapa kelebihan seperti suasana yang nyaman dan tenang, udara yang segar, tiada gangguan, badan yang segar setelah rehat dan minda yang lebih fokus. Oleh itu manfaatkanlah waktu bulan Ramadan ini sebaik-baiknya untuk belajar dan beribadah. Doa orang berpuasa dimakbulkan. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Nabi saw bersabda, "Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka." Dan dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi saw bersabda, "Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir". Jelas di sini kelebihan orang yang berpuasa iaitu doanya dimakbulkan oleh Allah. Oleh itu, pelajar mesti menggunakan bulan Ramadan ini sebaik-baiknya berdoa kepada Allah agar ditingkatkan kefahaman, dipermudahkan urusan, diterangkan hati dan diberikan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Hak pelajar hanyalah berusaha sebaik mungkin tetapi keputusan sebenar tetap dalam ketentuan Allah. Berdoalah agar apa yang dibaca dan diulangkaji keluar dalam peperiksaan. Juga berdoalah agar diri mampu melakukan yang terbaik sewaktu dalam dewan peperiksaan. Bulan Ramadan adanya Malam Lailatulqadar. Kita semua sedia maklum yang dalam bulan Ramadan ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Malam Lailatulqadar. Inilah malan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap hamba Allah yang beriman. Oleh itu, sentiasalah bangun malam berqiamullail dan berharap agar bertemu dengan malah yang hebat ini agar permohonan kita diangkat ke langit dan dimakbulkan oleh Allah. Dengan izin Allah, maka pelajar mampu menjadi pelajar yang cemerlang dan tiada yang mustahil selagi ada kemahuan dan keyakinan. SEKIAN. Seminar dua hari Motivasi Alihan Pelajar Sempena bulan Ramadan ini MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd. menganjurkan dua program Motivasi Alihan Pelajar iaitu di Johor Bahru pada 13 – 14 Ogos 2011 dan di Kuala Lumpur pada 20 – 21 Ogos 2011. Istimewanya program dalam bulan Ramadan ini ialah tawaran diskaun sehingga lima puluh peratus (50%) diberikan bagi pendaftaran yang kedua. Malah setiap pendaftaran yang dibuat dalam bulan Ramadan ini akan diberikan diskaun sebanyak lima puluh ringgit. Disamping itu pelajar-pelajar juga akan didedahkan dengan amalan-amalan zikir serta doa-doa mustajab bagi diamalkan sepanjang Ramadan ini. Seminar dua hari ini telah terbukti mampu membuka mata dan menggerakkan hati serta meningkatkan kemahuan anak-anak bagi mencapai kecemerlangan. Untuk mengetahui tentang lokasi serta tarikh seminar yang terkini mohon hubungi pejabat Motivasi Alihan Pelajar iaitu 03-22734622 / 016-5580719 atau 05-3134622 / 016-5580619 atau layari laman web kami di www.laman-map.com. Hubungi Kami: Pejabat MAP Kuala Lumpur 03 - 22734622, 03 - 22730622, 016 - 5580719 Pejabat MAP Ipoh 05 - 3134622, 05 - 3136601 atau 016 - 5580619 Daftar online di http://www.mindaplus.com/daftar Maklumat lanjut di http://www.laman-map.com Jaga Keberkatan Rezeki 08/03/2011
Oleh: Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad. Nota: Artikel tulisan saya ini telah diterbitkan oleh Majalah Harmoni, Mei 2011. Dalam hidup ini semua orang perlu mencari rezeki apabila sudah sampai usia dan waktunya. Rezeki yang dicari ini pula boleh dengan pelbagai cara, cara yang baik boleh dan cara yang buruk juga boleh. Tepuk dada tanyalah iman kita. Tuntutan hidup dan kos saraan yang semakin tinggi memerlukan setiap dari kita melakukan lebih dari satu pekerjaan bagi menampung perbelanjaan harian, bil-bil, ansuran rumah dan kenderaan, yuran dan keperluan sekolah anak-anak dan sebagainya. Ada yang berniaga pasar malam, menjual nasi lemak dan pisang goreng, menceburkan diri dalam perniagaan MLM, dan sebagainya. Bagi mereka yang malas melakukan lebih dari satu kerja mula memikirkan cara yang lebih cepat untuk menambah pendapatan seperti pecah amanah, menipu dan rasuah. Walau pun cara itu salah, demi keseronokan dan janji dunia, mereka sanggup dan berani melakukannya. Yang penting dalam mencari rezeki bukannya berapa banyak yang kita dapat tetapi sebaliknya ada atau tidak keberkatan dalam rezeki itu. Pernah satu ketika seorang bapa datang kepada saya dan mengadu hal anak-anaknya. Katanya dia mempunyai lima orang anak, anak yang pertama hingga ketiga semuanya bagus dan cemerlang tetapi anak keempat dan yang bongsu sangat bermasalah. Mereka suka keluar malam, tidak solat, menipu, melepak, malas belajar dan degil. Setelah mendengar keluhan bapa itu lalu saya cuba menduga, mungkin cara didikannya tidak sama dengan tiga anak yang pertama, atau masanya dengan mereka kurang, atau beliau tidak lagi menjadi pendengar yang baik bagi anak-anaknya. Namun semuanya itu dinafikan oleh sibapa. Lalu saya minta bapa itu semak sumber makanan kalau-kalau ada dari sumber yang haram. Ketika itu wajahnya berubah. Dia akui bahawa sewaktu membesarkan tiga anak yang pertama dia begitu dedikasi dan jujur. Dia benci sebarang sogokan dan rasuah. Tetapi apabila sudah bertahun-tahun bekerja dan melihat ramai orang disekelilingnya makan rasuah macam makan nasi maka dia merasakan bahawa semuanya itu adalah amalan biasa lalu turut terlibat sama. Dua anak terakhirnya menjadi mangsa dari rezeki haram itu. Bila sudah begini jadinya pada siapa mahu disalahkan, pada anak atau pada diri sendiri. Bapa itu sedar akan kesilapannya lalu menangis tetapi semuanya sudah berlaku. Saya minta beliau buat solat taubat dan minta ampun pada Allah. Apabila rezeki tidak berkat ujian datang bertimpa-timpa. Telefon bimbit rosak, kereta rosak, emak sakit, rumah dimasuki pencuri, kena samun dan macam-macam lagi. Semuanya tujuannya hanya satu iaitu supaya duit yang kita dapat itu keluar dari poket kita secara terpaksa. Kalau selalu sangan Allah uji, habis satu masalah datang pula masalah yang lain, maka mungkin sudah sampai masanya kita muhasabah diri dan bertanya sama ada rezeki kita itu berkat atau tidak? Kalau tidak berkat apa puncanya? Sebab ada ketikanya Allah uji sesorang itu bagi menaikkan darjat dan martabatnya tetapi ada ketikanya pula sebagai satu pengajaran dan bala baginya. Antara kesan daripada rezeki yang berkat: 1) Kita sentiasa merasa cukup dengan rezeki yang diperolehi sentiasa cukup malah berlebihan. Tidak terfikirkah kita bagaimana orang yang tinggal di kampung dan luar bandar boleh membesarkan sepuluh orang anak dengan hanya membanting tulang menoreh getah atau menuai padi. Sedangkan kita di bandar dengan gaji beribu dan hanya dua tiga orang anak tidak pernah merasa cukup. Malah ada yang bergaji lebih sepuluh ribu ringgit tetap tidak merasa cukup. Jika rezeki kita berkat maka Allah akan cukupkan keperluan kita. 2) Akhlak dan perilaku suami, isteri dan anak-anak hebat. Banyak masalah sosial anak-anak dan penceraian berlaku hasil dari rezeki yang tidak berkat. Apabila rezeki itu berkat ia akan dapat dilihat melalui aklah anak-anak yang positif dan perilaku mereka yang cemerlang. 3) Mudah menjaga solat dan melakukan ibadah lain seperti umrah dan haji. Apabila rezeki yang diperolehi itu berkat, hati kita bersih dan minda kita tenang. Mudah bagi kita untuk solat dan beramal ibadat. Rezeki yang berkat akan memudahkan kita sampai ke tanah suci Mekah. Ramai orang yang mendapat rezeki yang tidak berkat takut untuk ke tanah suci kerana bimbang akan balasan Allah secara tunai di dunia ini. Walhal, tanah sucilah tempat untuk bertaubat, membersihkan diri dari dosa dan memohon keberkatan. 4) Orang di sekeliling suka kita. Apabila rezeki kita berkat semua orang sayang kita. Sebab kita suka belanja mereka dan mehulurkan sedekah dan bantuan. Orang suka dekatikita kerana mereka dapat rasakan keikhlasan dan aura positif yang terpancar dari dalam diri kita. 5) Orang suka datang rumah dan menziarahi kita. Rumah kita bagikan magnet. Ada sahaja saudara, kenalan atau jiran yang mengunjungi kita. Mereka yang datang itu akan bawa pahala dan pukangnya mereka akan menghapuskan dosa kita. Malah, rezeki pula bertambah murah dan ada sahaja yang kita perolehi tanpa disangka-sangka. 6) Anak-anak cemerlang dalam pelajarannya. Apabila rezeki itu berkat, jiwa dan minda anak-anak juga bersih. Jiwa dan minda yang bersih membolehkan mereka tumpu pada pelajaran dan apa yang dipelajari itu pula mudah difahami dan lekat dalam kepala. Hasilnya, keputusan peperiksaan anak-anak cemerlang. Malah anak kita juga menjadi contoh dalam banyak perkara dan aktiviti disekolah. Dia dilantik untuk memegang jawatan dan menjadi kesayang guru dan rakan. 7) Doa yang makbul. Keberkatan rezeki membuatkan permohonan dan doa kita dimakbulkan oleh. Sebab Nabi SAW memang ada menegaskan bahawa antara faktor yang menghalang makbulnya doa itu adalah makanan dari sumber yang haram. Begitulah antara kesan positif yang diperoleh daripada rezeki yang berkat. Kita perlu faham rezeki yang berkat bukan sahaja bermakna bebas dari rasuah atau wang diperolehi daripada aktiviti yang haram. Ada ketikanya, sikap curi tulang, tidak amanah dalam kerja, tidak mencapai kualiti kerja, malas dan sebagainya sewaktu menjalankan pekerjaan boleh menyumbang kepada tiada keberkatan rezeki. Sebab itulah, dalam apa juga yang kita lakukan dalam mencari rezeki maka lakukanlah dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan amanah. Insya Allah, apabila rezeki berkat kita dinaikkan pangkat dan satu hari mendapat anugerah pekerja cemerlang. |










RSS Feed