Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
  • Profil
  • Blog
  • Facebook Saya
  • Daftar Seminar
  • Rakan Niaga MAP
  • Hubungi Saya

Latar Belakang

Dr. Haji Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad dilahirkan pada 23 Jun 1964 di Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu.  Beliau mendapat didikan awal di Sekolah Ren. Keb. Seberang Takir dan seterusnya di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri.  Pada tahun 1982 beliau telah memasuki Matrikulasi I dan II di Universiti Sains Malaysia.  Pada Tahun 1984 beliau mengikuti program Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Sumber Mineral dan menamatkan pengajiannya pada Tahun 1988.  

Setelah tamat pengajian, beliau sempat bertugas di SEDC Kuala Terengganu selama 6 bulan di bahagian geologi dan carigali dan terlibat dengan penemuan emas di Rusila pada Tahun 1989.  Setelah itu, beliau menyambung pelajarannya di University of Queensland, Brisbane, Australia pada Tahun 1989 hingga 1993 dan menerima Ph.D dalam bidang Kejuruteraan Perlombongan pada Tahun 1994.  Pada Tahun 1994 dan 1995 beliau berkhitmat sebagai pensyarah di Kampus Cawangan Kejuruteraan USM di Tronoh, Perak (yang kini telah diambilalih oleh Universiti Teknologi Petronas, UTP).  

Pada November, 1995, beliau telah meletakkan jawatannya sebagai pensyarah universiti dan memulakan syarikat latihannya sendiri iaitu MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd.  Beliau adalah Pengasas kepada kursus Motivasi Alihan Pelajar yang telah melahirkan lebih daripada 100,000 pelajar dan menjalankan kursus hampir setiap minggu sehingga ke hari ini.  Beliau juga merupakan seorang 'Public Speaker' dan motivator yang sering diundang oleh pihak radio dan televisyen antaranya ialah TV1, TV3, TV9, NTV7, TV Bernama, Astro Awani, Astro Oasis dan TV Al-Hijrah.  Antara program atau segmen yang beliau pernah muncul ialah:

TV1:  Suluh Bestari, Inspirasi Pagi, Cahaya Permata, Selamat Pagi Malaysia, Fitrah Kasih.
TV3:  Motivasi Pagi, Al-Kuliyyah, Halaqah, Malaysia Hari Ini dan Wanita Hari Ini.
TV Bernama:  Hello Malaysia
Astro Awani:  Awani Pagi
Astro Ria: Malam Ini Z&R, Bersama Anita, Malam Ini Linda Onn.
Astro Oasis: Selami Jiwa bersama Dato' Dr. Fadzillah Kamsah.
NTV7:  Soup For The Soul (segmen Bahasa Melayu sebanyak 12 Episod).
TV9:  Muqadimah dan Keluarga di 9.

Beliau juga sering ke udara di radio seperti Radio IKIM.FM, KLfm, Klasik Nasional, Salam FM, Perak FM, Pahang FM, Kedah FM dan banyak lagi.

Beliau juga seorang penulis dan artikel tulisan beliau sering diterbitkan oleh Harian Metro, Majalah Ibu Bapa, Mingguan Wanita, RAPI, iluvislam, Majalah ANIS, Harmoni dan sebagainya.  Dua buah buku karangan beliau iaitu Motivasi Alihan Pelajar dan Teknik memotivasikan Anak Cara Positif, telah diterbitkan oleh PTS Milennia Sdn. Bhd.

Beliau merupakan Presiden TAMRIN (Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia), Yang Di Pertua Silat Hijrah Malaysia, dan seorang aktivis di PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia).

Beliau juga banyak terlibat dengan Pusat Rawatan Komplimentari Islam bersama YASHFIEN.




Buku Tulisan Beliau

Picture
Berdasarkan pengalamannya selama lebih 16 tahun menjalankan program Motivasi Alihan Pelajar di seluruh negara dan melibatkan lebih daripada 100,000 pelajar, Dr. Tengku Asmadi telah mencurahkan ilmu dan pengalamannya dalam buku berjudul Motivasi Alihan Pelajar.  Buku ini telah diterbitkan pada Tahun 2007 dan telah dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa di PWTC pada tahun yang sama.  Buku ini terbukti telah mendapat sambutan yang menggalakkan apabila terjual lebih daripada 50,000 nashkah dan sehingga kini masih lagi mengungguli carta jualan di syarikat penerbitan PTS.

Buku ini banyak membincangkan tentang masalah pelajar dan cara mengatasi, Prinsip 3S (Sasaran, Strategi, dan Sikap), teknik dan kemahiran belajar berkesan, motivasi diri pelajar, tip-tip mengatasi masalah lupa, mengantuk, belajar berkumpulan,  dan seumpamanya.  Beberapa strategi bagi menghadapi peperiksaan turut dibincangkan.  Malah pelajar akan didedahkan dengan strategi mengurus masa belajar dan tip-tip mengatasi masalah malas.  Ia adalah sebuah buku yang patut dimiliki oleh setiap pelajar di luar sana.

Buku kedua tulisan beliau berjudul Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif yang telah diterbitkan pada Tahun 2009, juga oleh PTS Milennia Sdn. Bhd.  Buku ini telah memenangi tempat pertama Anugerah Pilihan Pembaca Berita Harian dan Popular Bookstore pada Tahun 2009.  Sehingga kini sebanyak 30,000 nashkah telah pun terjual dan masih mendapat permintaan yang menggalakkan dari pembaca.  Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman hidup membesarkan tujuh orang anak dan juga pengalaman menjalankan kursus 'parenting' serta khidmat nasihat yang telah diberikan kepada ribuan ibu bapa di luar sana.  Malah berdasarkan pengalamannya, beliau telah mengendalikan program PERMATA HATI di Radio IKIM.FM selama 5 bulan bermula Mac 2011 hingga Julai 2011 dan rancangan ini telah mendapat sambutan yang hebat.

Antara tip-tip yang dibincangkan adalah bagaimana menjaga kredibiliti, teknik memuji berkesan, cara komunikasi dengan anak-anak, kaedah mendisiplinkan anak, teknik meningkatkan pencapaian akademik anak, peranan ibu bapa menjelang peperiksaan dan banyak lagi.




Picture
Create a free website with Weebly