Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
  • Utama
  • Motivasi Alihan Pelajar
  • NLP4Students
  • NLP For Business
  • Kursus Pekerja
  • Blog
  • Hubungi Saya
  • JuzQ30
  • Buku
  • Profil Saya
  • BukuPowerParenting
  • BusinessPrivacy
  • joinemailparenting
  • ebookpercuma
  • Product
  • Buku Mudahnya Mendidik

Hikmah Berpuasa Untuk Pelajar

30/6/2015

 
Oleh: Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
NOTA:  Artikel ini telah disiarkan dalam Harian Metro, Sabtu, 30 Julai 2011
Picture
Azali Azlan adalah seorang pelajar Sek. Men. Agama di Yan, Kedah, yang telah menjadi pelajar cemerlang dalam keputusan SPM Tahun 2007 dengan mendapat 21A.  Apabila ditanya rahsia kecemerlangannya Azali Azlan menjelaskan bahawa beliau banyak berpuasa, minum susu, makan kurma dan madu.    Malah ramai lagi pelajar yang mengamalkan berpuasa apabila berdepan dengan tahun peperiksaan.  Hasilnya, pelajar-pelajar ini menjadi pelajar yang cemerlang.  

Kebetulan bulan Ramadan datang sebelum tibanya peperiksaan penting iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM.  Para pelajar perlu merebut peluang ini sebaik-baiknya dan membetulkan persepsi masing-masing bahawa datangnya bulan Ramadan sebelum bulan peperiksaan merupakan satu rahmat dan kelebihan.  

Puasa memberikan kita lebih fokus.
Apabila seorang pelajar itu menjaga puasanya bermakna dia tidak akan membuang masa melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti menonton televisyen, melayari internet, bersembang, melepak dan sebagainya.  Dengan mengurangkan gangguan-gangguan sebegini pelajar akan mudah untuk fokus kepada pelajarannya.  Biasanya, apabila bulan puasa tiba anak-anak lebih gemar berada di rumah berbanding di luar.  Ini membolehkan mereka menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberikan oleh guru dan mengulangkaji pelajaran.  Puasa juga memberikan kelebihan kepada fizikal dan mental seseorang dan ini meningkatkan kemampuan pelajar untuk memahami, mencerap, mengolah dan mengingat setiap apa yang dipelajari.

Puasa memberikan kita lebih masa.
Biasanya, dalam bulan Ramadan semua orang memulakan masanya lebih awal.  Malah waktu persekolahan juga dipendekkan dengan pelajar-pelajar dibenarkan pulang lebih awal dari biasa.  Tambahan pula pelajar tidak perlu bergegas ke kantin untuk makan pagi dan tengahari.  Ini memberikan lebihan masa kepada para pelajar dan jika pelajar bijak memanfaat dan mengurus masanya maka dia akan mempunyai banyak masa bagi mengulangkaji pelajarannya.  Kelebihan seperti ini tidak ada pada bulan-bulan biasa oleh itu manfaatkanlah Ramadan sebaik-baiknya.

Perut yang kenyang merangsang rasa malas dan mengantuk.
Pada bulan-bulan biasa pelajar cenderung untuk makan dengan banyak pada waktu tengahari dan mengantuk serta malas di waktu petang.  Malah ramai juga pelajar yang mengantuk dan malas meskipun masih lagi berada diwaktu pagi.  Perut yang kenyang adalah antara penyebab kepada masalah malas dan mengantuk ini.  Dengan berpuasa, masalah ini dapat diatasi.  Puasa akan memberi kesegaran pada otot-otot dan akan membuat anda sihat, segar dan bertenaga.  

Bulan Ramadan memudahkan kita bangun awal.
Waktu belajar yang paling sesuai adalah di awal pagi.  Oleh itu pelajar digalakkan untuk tidur awal dan bangun seawal jam 4.00 pagi.  Apabila bangun, buatlah solat tahajud dan solat hajat kemudian mulalah menelaah pelajaran.  Bangun di awal pagi memberikan pelajar beberapa kelebihan seperti suasana yang nyaman dan tenang, udara yang segar, tiada gangguan, badan yang segar setelah rehat dan minda yang lebih fokus.  Oleh itu manfaatkanlah waktu bulan Ramadan ini sebaik-baiknya untuk belajar dan beribadah.

Doa orang berpuasa dimakbulkan.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Nabi saw bersabda, "Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka."  Dan dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi saw bersabda, "Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir".  Jelas di sini kelebihan orang yang berpuasa iaitu doanya dimakbulkan oleh Allah.  Oleh itu, pelajar mesti menggunakan bulan Ramadan ini sebaik-baiknya berdoa kepada Allah agar ditingkatkan kefahaman, dipermudahkan urusan, diterangkan hati dan diberikan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.  Hak pelajar hanyalah berusaha sebaik mungkin tetapi keputusan sebenar tetap dalam ketentuan Allah.  Berdoalah agar apa yang dibaca dan diulangkaji keluar dalam peperiksaan.  Juga berdoalah agar diri mampu melakukan yang terbaik sewaktu dalam dewan peperiksaan.

Bulan Ramadan adanya Malam Lailatulqadar.
Kita semua sedia maklum yang dalam bulan Ramadan ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Malam Lailatulqadar.  Inilah malan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap hamba Allah yang beriman.  Oleh itu, sentiasalah bangun malam berqiamullail dan berharap agar bertemu dengan malah yang hebat ini agar permohonan kita diangkat ke langit dan dimakbulkan oleh Allah.  Dengan izin Allah, maka pelajar mampu menjadi pelajar yang cemerlang dan tiada yang mustahil selagi ada kemahuan dan keyakinan.

SEKIAN.

Sertai Konvensyen Power Parenting pada 30 Julai 2016 yang akan diadakan di Dewan Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Konvensyen ini membawa 5 ikon iaitu Dato' Dr. Fadzilah Kamsah, Prof. Dr. Muhaya, Dr. Tengku Asmadi, Ustazah Isfadiah dan Ahmad Fadzli Yusof.

Untuk info lanjut layari : www.tengkuasmadi.com/powerparenting.html

Picture

Berikan komen anda di sini:


Anak-anak Mencari ‘SuperHero’

28/6/2015

 
Ditulis oleh:  
Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
[email protected]

Artikel ini pernah diterbitkan oleh Majalah ANIS, terbitan Galeri Ilmu

Picture
Sewaktu kecil, anak-anak sangat gemar membaca komik dan menonton televisyen yang berkaitan dengan superhero.  Ada yang mahu menjadi Superman, Spiderman, Ultraman, Batman, Ironman, Power Rangers dan seumpamanya.  Watak-watak ini hidup dalam ilusi dan fantasi minda mereka hingga terbawa-bawa dalam mimpi dan membentuk tingkahlaku mereka.  

Apabila diri semakin membesar, mereka mula mengerti bahawa watak-watak hero itu bukanlah watak yang benar.  Mereka mungkin masih meminati, tetapi tidak lagi terikut-ikut.  Mereka sudah dapat bezakan antara realiti dan fantasi.  

Namun, mereka tetap memerlukan seorang hero yang boleh dicontohi.  Ketika itu, mereka mula melihat ahli sukan.  Nama-nama seperti Ronaldo, Messi, Lee Chong Wei, Tiger Wood, Nicol Ann David, Azizul Hasni, Michael Jordan,  Usain Bolt seumpamanya mula meniti di bibir anak-anak bergantung kepada bidang sukan mana yang mereka cenderung.  Ketika itu juga, anak-anak mula dimomok-momokkan oleh media tentang kehidupan dan glamer para artis dan anak-anak mula minat pula pada artis dan ada yang mahu jadi seperti mereka.

Persoalannya, dimanakah letaknya Nabi Muhammad SAW atau para sahabat di ruang hati anak-anak ini?  Bagaimana pula dengan ibu bapanya, tidakkah mereka nampak kita sebagai ibu bapa adalah hero sebenar yang sanggup berkorban wang, masa, tenaga, perasaan, malah nyawa untuk mereka?  

Selama 20 tahun melibatkan diri menjalankan kursus motivasi untuk pelajar, saya pernah meminta anak-anak menulis nama-nama model ikutan mereka.  Iaitu orang yang mereka kagum, bangga dan mahu jadi seperti mereka.   Saya minta mereka senaraikan lima nama.  Menariknya, dalam senarai itu, 15% sahaja yang meletakkan nama Nabi Muhammad SAW, 10% sahaja yang menulis nama ibu atau ayah mereka, dan tidak seorang pun yang menulis nama para sahabat.  Yang banyaknya, mereka memilih nama ahli sukan, tokoh, jutawan, ahli sains dan artis.  Menariknya, mereka yang menulis nama Nabi Muhammad SAW itu, 90% datangnya daripada sekolah aliran agama.

Picture
Maka tidak hairanlah apabila kes juvana dan gejala sosial semakin parah, masalah disiplin dan akhlak negatif semakin membarah.  Sebab dalam minda anak tidak wujud Allah dan Nabi.  Minda anak-anak sudah diracun oleh Yahudi dengan watak-watak superhero palsu dan model ikutan yang membawa kepada kejayaan duniawi semata-mata.  

Sebagai ibu bapa, kitalah yang harus dipersalahkan dan mesti membetulkan keadaan ini.  Kita perlu tanam Allah dan Nabi Muhammad SAW dalam minda dan jiwa anak-anak.  Kita sendiri juga perlu dilihat sebagai hero, malah ‘Superhero’ di mata anak-anak.

Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil mulai sekarang:
  1. Sejak dari kecil lagi, bacakanlah dan ceritalah pada anak-anak kisah-kisah Nabi dan Rasul, Sirah Nabi Muhammad SAW, kisah para sahabat dan ulamak silam.  Ceritakan betapa hebatnya perjuangan, perjalanan hidup dan pemikiran mereka ini.  Jadikan cerita-cerita ini sebagai bahan sebelum tidup bagi melelapkan mata anak dan biarlah mereka bermimpi dengannya.  Anak-anak kita bergantung kepada apa yang didedahkan padanya.  Minda mereka menyerap segala info, dan jika ia dilakukan dalam usia kanak-kanak, cerita-cerita ini akan kekal dalam minda bawah sedarnya.
  2. Belikan anak-anak buku-buku dan komik berkaitan dengan Nabi, Rasul, Para Sahabat, Ulamak, Tokoh-tokoh Islam dan seumpamanya.  Dulu, buku-buku seperti ini memang sukar diperolehi tetapi kini ia mudah dibeli.  Masuk sahaka ke toko buku Islam, pasti ada.
  3. Cipta watak seorang ‘Superhero’ muslim.  Sudah sampai masanya pihak media yang mahir dalam animasi dan komik mencipta watak seperti Goku dalam siri Dragonball bagi mengantikan watak-watak ‘Superhero’ barat dan Yahudi.  Jika kita terkekang dengan cerita-cerita Nabi dan Para Sahabat sahaja maka ceritanya pastilah perlu sahih dan tidak boleh diada-adakan.  Tetapi apabila kita cipta satu watak ‘Superhero’ muslim yang baru maka jalan ceritanya tidak terbatas kerana ia hanyalah rekaan semata-mata tetapi memiliki unsur-unsur serta jalan cerita yang sangat menarik.  Ditambah pula dengan pelbagai nilai murni yang boleh diterapkan dalam penceritaan itu nanti.  
  4. Setiap kali memuji kelakuan baik anak atau pencapaian cemerlangnya, maka tutuplah dengan kata-kata berikut, “macam inilah baru Nabi sayang dan Allah suka”.  Setiap kali kita berkata begitu, ia akan tersemat dalam hati anak dan tersemat di sanubari mereka.  Apabila kata-kata ini diulang setiap hari dan ribuan kali, ia tertanam dalam minda bawah sedar.  Setiap kali terfikir sahaja mahu melakukan perkara buruk, maka ketika itu juga anak teringat akan Allah dan Rasul lalu membatalkan niat hati yang tidak elok itu.
  5. Ibu bapa juga perlu ceritakan kisah-kisah mereka sewaktu kecil dan kisah-kisah kejayaan mereka sendiri kepada anak-anak.  Dengan cara ini anak akan nampak kehebatan ibu bapanya.  Kita mungkin pernah dapat anugerah, memenangi pertandingan, mewakili sekolah, dipuji guru dan sebagainya.  Cerita-cerita ini pasti seronok apabila disampaikan pada anak-anak.  Tanpa kita sedar, anak-anak akan ambil cerita itu sebagai inspirasi buat diri mereka sendiri.  Ini sangat membantu mereka membuat keputusan.  Misalnya, apabila guru bertanya, siapa yang mahu mewakili sekolah dalam satu pertandingan maka ketika itu anak kita tanpa ragu akan angkat tangan dan menawarkan dirinya.  Sebab dia tahu, ayahnya juga dulu begitu.
  6. Tutup kelemahan diri apabila anak ada bersama.  Tidak dinafikan sebagai manusia normal, ibu bapa juga punya banyak kekurangan dan kelemahan.  Tetapi setiap kali bersama anak, tutuplah kekurangan ini sebaliknya tonjolkan kehebatan.  Biar anak rasa bangga dan kagum dengan kita.  
  7. Jadilah contoh yang baik bagi anak dengan melakukan apa yang disuruh oleh kita pada mereka.  Usah jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus.  Apa yang kita cakap, kita buat.  Barulah anak-anak lihat kita sebagai ibu bapa yang mempunyai kredibiliti yang tinggi.  Cakap serupa bikin.

Berikan Komen Anda Di Sini:


Read More

    Author

    Dr. Tengku Asmadi adalah seorang penulis, 'public speaker' dan motivator.

    Archives

    March 2019
    October 2017
    May 2016
    November 2015
    September 2015
    July 2015
    June 2015
    June 2013
    April 2013
    June 2012
    April 2012
    March 2012
    November 2011
    August 2011

    Categories

    All
    Doa Dan Amalan
    Dunia Pelajar
    Keluarga
    Motivasi Diri
    Rawatan Islam
    Tip Mendidik Anak

    RSS Feed

Designed by Team MAP Training - 013 433 4622