Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
  • Utama
  • Motivasi Alihan Pelajar
  • NLP4Students
  • NLP For Business
  • Kursus Pekerja
  • Blog
  • Hubungi Saya
  • JuzQ30
  • Buku
  • Profil Saya
  • BukuPowerParenting
  • BusinessPrivacy
  • joinemailparenting
  • ebookpercuma
  • Product
  • Buku Mudahnya Mendidik

Belajar Untuk Peperiksaan

9/9/2015

 
Picture
Oleh:  Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad 

Ramai pelajar yang rajin belajar tetapi tidak memperolehi keputusan yang setimpal dengan usaha mereka.  Keadaan ini berlaku disebabkan mereka tidak belajar dengan pendekatan untuk cemerlang dalam peperiksaan.   Mereka tidak merancang jadual belajar dan masa mereka dengan betul.  Artikel ini akan membincangkan apa yang perlu anda lakukan mulai sekarang hinggalah ke dewan peperiksaan bagi memastikan anda lakukan yang terbaik.



Bersedia untuk belajar

Peperiksaan semakin hampir.  Anda perlu melakukan persediaan bagi memastikan anda mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lenih tinggi sama ada di kolej ataupun universiti.

Sekiranya anda memang telah belajar dari awal, pastinya tidak banyak yang perlu dirisaukan.  Tetapi bagaimana pula sekiranya anda baru mahu bersungguh-sungguh mengulangkaji.  Lebih-lebih lagi sekiranya anda bakal menduduki SPM.  Kepada pelajar SPM saya nasihatkan agar memberikan tumpuan kepada matapelajaran penting.  Iaitu matapelajaran yang membawa anda ke menara gading.  Matapelajaran ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan dua matapelajaran elektif (Fizik, Kimia, Biologi, Prinsip Akaun, Ekonomi, Sains Tambahan, Matematik Tambahan, Kejuruteraan).  Sekiranya anda mendapat markah yang baik dalam kelompok mata pelajaran ini maka peluang anda untuk ke universiti adalah cerah.

Namun begitu, sekiranya anda mampu, hendaklah anda dapatkan markah yang terbaik bagi semua mata pelajaran.  Sebab persaingan ke universiti kini semakin sengit.  Mereka yang berjaya biasanya memiliki pencapaian yang baik dalam semua mata pelajaran.

Buatkan jadual belajar untuk peperiksaan


Jangan panik.  Itu adalah pesan saya yang paling utama.  Walaupun anda rasakan banyak yang perlu difahami dan diingati, jangan sekali-kali anda panik.  Sekiranya anda panik, anda akan mengundang lebih banyak masalah berbanding penyelesaian.  Tidak ada masalah tanya penyelesaian.  

Mula menyemak semua buku-buku yang ada termasuk nota sekolah, buku teks, buku rujukan, soalan-soalan ramalan dan soalan-soalan tahun lepas.  Pastikan semuanya lengkap dan dalam keadaan baik. 

Langkah pertama kenal pasti bab-bab yang susah dan belum anda kuasai untuk semua mata pelajaran.  Senaraikan bab-bab ini.  Senaraikan juga bab-bab yang telah anda kuasai dengan baik.

Langkah kedua buatkan analisa soalan-soalan sejak 5 tahun yang lepas.  Lihat bab-bab yang sering keluar soalan darinya.  Bab-bab ini merupakan bab-bab penting yang tidak boleh tidak mesti anda kuasai dengan baik.

Buatkan jadual perancangan belajar anda.  Agihkan tajuk-tajuk dari sekarang hinggalah seminggu sebelum peperiksaan.  Jangan diganggu minggu terakhir sebelum peperiksaan sebab minggu terakhir ini adalah untuk anda lakukan semakan terakhir nanti.  Mana-mana bab yang penting, mulakan ulangkajinya dahulu.  Lagi awal anda mengulangkaji bab-bab ini lagi cepat anda mengenalpasti dan seterusnya mengatasi setiap masalah.  Sekiranya anda terpaksa menghabiskan 4 bab seminggu maka habiskanlah.  Anda mungkin terpaksa belajar 5 - 8 jam sehari untuk mengulangkaji semua matapelajaran.  Oleh itu anda perlu berkorban demi masa depan.  Anda mungki belajar 1 jam diwaktu pagi, 2 jam pada tengahari, 1 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu malam.  Ini menjadikan masa belajar anda 7 jam sehari.

Mengingati Tajuk


Ramai pelajar tidak menyedari hakikat penting ini.  Kalau anda mampu mengingati apa tajuk-tajuk yang terkandung dalam sesuatu matapelajaran maka anda mempunyai gambaran yang jelas tentang apa yang anda pelajari.

Buatkan Nota


Anda hanya perlu mempelajari sekali sahaja setiap tajuk.    Pastikan dengan usaha yang sekali ini anda mampu memahaminya.  Ramai pelajar yang mengulang baca sesuatu tajuk beberapa kali dan kemudiannya lupa.  Cara belajar begini bukan sahaja menjemukan malah merugikan masa anda, sedangkan peperiksaan semakin hampir.

Setelah anda memahami apa yang dibaca, buatkanlah nota-nota ringkas.  Yang terbaik ialah anda ringkaskannya mengikut apa yang anda fahami.  Bandingkan nota anda dengan teks asal bagi memastikan fahaman anda betul dan tidak ada fakta penting yang tertinggal.

Ringkaskan setiap fakta menjadi lebih pendek bagi memudahkan anda mengingatinya.  Kenalpasti kata kunci dalam setiap fakta. Buatkan senarai kata kunci dan hafal.  Lakarkan peta minda atau peta konsep berdasarkan tajuk-tajuk dan kata kunci yang ada.  Pastikan apabila anda mengingati kata kunci, maka anda mampu mengingati keseluruhan fakta yang berkaitan dengannya.




Read More

Strategi Cemerlang Peperiksaan

7/9/2015

 

Oleh: 
Dr. Hj. Tengku Asmadi bin T. Mohamad, Ph.D, A.M.T.

Picture
PENDAHULUAN

Peperiksaan penting seperti UPSR, PT3, SPM dan STPM memerlukan persedian lebih daripada sekadar membaca semata-mata.  Tanpa persediaan yang rapi maka ramai pelajar yang mendapat keputusan yang tidak setimpal dengan usahanya.  Anda tidak perlu takut dengan peperiksaan.  Sebab sama ada anda bersedia atau tidak, masa untuk berhadapan dengannya tetap akan tiba.  Oleh itu lebih baik anda fokuskan kepada persediaan anda untuk berjuang.  Untuk cemerlang dalam peperiksaan pelajar perlu bersedia dari segala aspek, bukan setakat membaca dan mengulangkaji semata-mata.  Persediaan yang rapi memupuk keyakinan yang tinggi untuk pelajar menghadapi peperiksaan mereka.  

Artikel yang ditulis ini tidak mengajar subjek-subjek yang tertentu.  Pelajar perlu merujuk kepada guru kelas masing-masing tentang keTEPATan dalam menjawab setiap soalan.  Artikel di Laman-MAP ini bertujuan untuk memberikan gambaran yang jelas tentang persediaan-persedian seperti fizikal, mental, emosi dan ruhani.  Harapan saya, ia akan membolehkan pelajar melangkah ke dewan peperiksaan dengan mengatakan ........ "AKU BOLEH BERJAYA".  Melangkah dengan fikiran yang positif.  

Kepada Anak Didik MAP, iaitu mereka yang pernah bersama saya dalam kursus Motivasi Alihan Pelajar selama dua hari,  saya ucapkan...  "Selamat Berjaya dan Buktikan Sememangnya Anda HEBAT".

PERSEDIAAN FIZIKAL


KESIHATAN

Sebagai pelajar anda memerlukan kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat persedian mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan.  Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan diri untuk peperiksaan.  Sekiranya masih banyak yang anda perluulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan kesihatan pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa kepada tekanan emosi.  Pastikan anda menjaga perkara yang berikut:

  • Tidur yang cukup.  Tidur yang cukup ialah diantara 6 - 7 jam sehari.  Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit.  Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan.  Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang. 

  • Jaga pemakanan.  Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya "Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan" (Al-Baqarah : 57).  Yang dimaksudkan sebagai yang baik disini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan).  Kepada ibu bapa pastikan anak-anak anda diberi makan makanan dari sumber yang halal.  Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.

  • Riadah.  Jangan beriadah sehingga meletihkan badan.  Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji pelajaran.   Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak tiga kali seminggu.  Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh.  Disaat-saat akhir sebegini, lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton dan sebagainya.  Anda boleh tangguhkan semua aktiviti yang anda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti.

KESELAMATAN

Anda perlu menjaga keselamatan diri anda sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan.  Elakkan diri dari sebarang kecederaan.  Anda pasti tidak mahu mengambil peperiksaan sewaktu berada dalam wad di hospital.  Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan.  Dalam musim menjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada dirumah.


Read More

    Author

    Dr. Tengku Asmadi adalah seorang penulis, 'public speaker' dan motivator.

    Archives

    March 2019
    October 2017
    May 2016
    November 2015
    September 2015
    July 2015
    June 2015
    June 2013
    April 2013
    June 2012
    April 2012
    March 2012
    November 2011
    August 2011

    Categories

    All
    Doa Dan Amalan
    Dunia Pelajar
    Keluarga
    Motivasi Diri
    Rawatan Islam
    Tip Mendidik Anak

    RSS Feed

Designed by Team MAP Training - 013 433 4622