Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
  • Utama
  • Motivasi Alihan Pelajar
  • NLP4Students
  • NLP For Business
  • Kursus Pekerja
  • Blog
  • Hubungi Saya
  • JuzQ30
  • Buku
  • Profil Saya
  • BukuPowerParenting
  • BusinessPrivacy
  • joinemailparenting
  • ebookpercuma
  • Product
  • Buku Mudahnya Mendidik

Hikmah Berpuasa Untuk Pelajar

30/6/2015

 
Oleh: Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
NOTA:  Artikel ini telah disiarkan dalam Harian Metro, Sabtu, 30 Julai 2011
Picture
Azali Azlan adalah seorang pelajar Sek. Men. Agama di Yan, Kedah, yang telah menjadi pelajar cemerlang dalam keputusan SPM Tahun 2007 dengan mendapat 21A.  Apabila ditanya rahsia kecemerlangannya Azali Azlan menjelaskan bahawa beliau banyak berpuasa, minum susu, makan kurma dan madu.    Malah ramai lagi pelajar yang mengamalkan berpuasa apabila berdepan dengan tahun peperiksaan.  Hasilnya, pelajar-pelajar ini menjadi pelajar yang cemerlang.  

Kebetulan bulan Ramadan datang sebelum tibanya peperiksaan penting iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM.  Para pelajar perlu merebut peluang ini sebaik-baiknya dan membetulkan persepsi masing-masing bahawa datangnya bulan Ramadan sebelum bulan peperiksaan merupakan satu rahmat dan kelebihan.  

Puasa memberikan kita lebih fokus.
Apabila seorang pelajar itu menjaga puasanya bermakna dia tidak akan membuang masa melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah seperti menonton televisyen, melayari internet, bersembang, melepak dan sebagainya.  Dengan mengurangkan gangguan-gangguan sebegini pelajar akan mudah untuk fokus kepada pelajarannya.  Biasanya, apabila bulan puasa tiba anak-anak lebih gemar berada di rumah berbanding di luar.  Ini membolehkan mereka menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberikan oleh guru dan mengulangkaji pelajaran.  Puasa juga memberikan kelebihan kepada fizikal dan mental seseorang dan ini meningkatkan kemampuan pelajar untuk memahami, mencerap, mengolah dan mengingat setiap apa yang dipelajari.

Puasa memberikan kita lebih masa.
Biasanya, dalam bulan Ramadan semua orang memulakan masanya lebih awal.  Malah waktu persekolahan juga dipendekkan dengan pelajar-pelajar dibenarkan pulang lebih awal dari biasa.  Tambahan pula pelajar tidak perlu bergegas ke kantin untuk makan pagi dan tengahari.  Ini memberikan lebihan masa kepada para pelajar dan jika pelajar bijak memanfaat dan mengurus masanya maka dia akan mempunyai banyak masa bagi mengulangkaji pelajarannya.  Kelebihan seperti ini tidak ada pada bulan-bulan biasa oleh itu manfaatkanlah Ramadan sebaik-baiknya.

Perut yang kenyang merangsang rasa malas dan mengantuk.
Pada bulan-bulan biasa pelajar cenderung untuk makan dengan banyak pada waktu tengahari dan mengantuk serta malas di waktu petang.  Malah ramai juga pelajar yang mengantuk dan malas meskipun masih lagi berada diwaktu pagi.  Perut yang kenyang adalah antara penyebab kepada masalah malas dan mengantuk ini.  Dengan berpuasa, masalah ini dapat diatasi.  Puasa akan memberi kesegaran pada otot-otot dan akan membuat anda sihat, segar dan bertenaga.  

Bulan Ramadan memudahkan kita bangun awal.
Waktu belajar yang paling sesuai adalah di awal pagi.  Oleh itu pelajar digalakkan untuk tidur awal dan bangun seawal jam 4.00 pagi.  Apabila bangun, buatlah solat tahajud dan solat hajat kemudian mulalah menelaah pelajaran.  Bangun di awal pagi memberikan pelajar beberapa kelebihan seperti suasana yang nyaman dan tenang, udara yang segar, tiada gangguan, badan yang segar setelah rehat dan minda yang lebih fokus.  Oleh itu manfaatkanlah waktu bulan Ramadan ini sebaik-baiknya untuk belajar dan beribadah.

Doa orang berpuasa dimakbulkan.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Nabi saw bersabda, "Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka."  Dan dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Nabi saw bersabda, "Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir".  Jelas di sini kelebihan orang yang berpuasa iaitu doanya dimakbulkan oleh Allah.  Oleh itu, pelajar mesti menggunakan bulan Ramadan ini sebaik-baiknya berdoa kepada Allah agar ditingkatkan kefahaman, dipermudahkan urusan, diterangkan hati dan diberikan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.  Hak pelajar hanyalah berusaha sebaik mungkin tetapi keputusan sebenar tetap dalam ketentuan Allah.  Berdoalah agar apa yang dibaca dan diulangkaji keluar dalam peperiksaan.  Juga berdoalah agar diri mampu melakukan yang terbaik sewaktu dalam dewan peperiksaan.

Bulan Ramadan adanya Malam Lailatulqadar.
Kita semua sedia maklum yang dalam bulan Ramadan ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Malam Lailatulqadar.  Inilah malan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap hamba Allah yang beriman.  Oleh itu, sentiasalah bangun malam berqiamullail dan berharap agar bertemu dengan malah yang hebat ini agar permohonan kita diangkat ke langit dan dimakbulkan oleh Allah.  Dengan izin Allah, maka pelajar mampu menjadi pelajar yang cemerlang dan tiada yang mustahil selagi ada kemahuan dan keyakinan.

SEKIAN.

Sertai Konvensyen Power Parenting pada 30 Julai 2016 yang akan diadakan di Dewan Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Konvensyen ini membawa 5 ikon iaitu Dato' Dr. Fadzilah Kamsah, Prof. Dr. Muhaya, Dr. Tengku Asmadi, Ustazah Isfadiah dan Ahmad Fadzli Yusof.

Untuk info lanjut layari : www.tengkuasmadi.com/powerparenting.html

Picture

Berikan komen anda di sini:


Anak-anak Mencari ‘SuperHero’

28/6/2015

 
Ditulis oleh:  
Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
[email protected]

Artikel ini pernah diterbitkan oleh Majalah ANIS, terbitan Galeri Ilmu

Picture
Sewaktu kecil, anak-anak sangat gemar membaca komik dan menonton televisyen yang berkaitan dengan superhero.  Ada yang mahu menjadi Superman, Spiderman, Ultraman, Batman, Ironman, Power Rangers dan seumpamanya.  Watak-watak ini hidup dalam ilusi dan fantasi minda mereka hingga terbawa-bawa dalam mimpi dan membentuk tingkahlaku mereka.  

Apabila diri semakin membesar, mereka mula mengerti bahawa watak-watak hero itu bukanlah watak yang benar.  Mereka mungkin masih meminati, tetapi tidak lagi terikut-ikut.  Mereka sudah dapat bezakan antara realiti dan fantasi.  

Namun, mereka tetap memerlukan seorang hero yang boleh dicontohi.  Ketika itu, mereka mula melihat ahli sukan.  Nama-nama seperti Ronaldo, Messi, Lee Chong Wei, Tiger Wood, Nicol Ann David, Azizul Hasni, Michael Jordan,  Usain Bolt seumpamanya mula meniti di bibir anak-anak bergantung kepada bidang sukan mana yang mereka cenderung.  Ketika itu juga, anak-anak mula dimomok-momokkan oleh media tentang kehidupan dan glamer para artis dan anak-anak mula minat pula pada artis dan ada yang mahu jadi seperti mereka.

Persoalannya, dimanakah letaknya Nabi Muhammad SAW atau para sahabat di ruang hati anak-anak ini?  Bagaimana pula dengan ibu bapanya, tidakkah mereka nampak kita sebagai ibu bapa adalah hero sebenar yang sanggup berkorban wang, masa, tenaga, perasaan, malah nyawa untuk mereka?  

Selama 20 tahun melibatkan diri menjalankan kursus motivasi untuk pelajar, saya pernah meminta anak-anak menulis nama-nama model ikutan mereka.  Iaitu orang yang mereka kagum, bangga dan mahu jadi seperti mereka.   Saya minta mereka senaraikan lima nama.  Menariknya, dalam senarai itu, 15% sahaja yang meletakkan nama Nabi Muhammad SAW, 10% sahaja yang menulis nama ibu atau ayah mereka, dan tidak seorang pun yang menulis nama para sahabat.  Yang banyaknya, mereka memilih nama ahli sukan, tokoh, jutawan, ahli sains dan artis.  Menariknya, mereka yang menulis nama Nabi Muhammad SAW itu, 90% datangnya daripada sekolah aliran agama.

Picture
Maka tidak hairanlah apabila kes juvana dan gejala sosial semakin parah, masalah disiplin dan akhlak negatif semakin membarah.  Sebab dalam minda anak tidak wujud Allah dan Nabi.  Minda anak-anak sudah diracun oleh Yahudi dengan watak-watak superhero palsu dan model ikutan yang membawa kepada kejayaan duniawi semata-mata.  

Sebagai ibu bapa, kitalah yang harus dipersalahkan dan mesti membetulkan keadaan ini.  Kita perlu tanam Allah dan Nabi Muhammad SAW dalam minda dan jiwa anak-anak.  Kita sendiri juga perlu dilihat sebagai hero, malah ‘Superhero’ di mata anak-anak.

Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil mulai sekarang:
  1. Sejak dari kecil lagi, bacakanlah dan ceritalah pada anak-anak kisah-kisah Nabi dan Rasul, Sirah Nabi Muhammad SAW, kisah para sahabat dan ulamak silam.  Ceritakan betapa hebatnya perjuangan, perjalanan hidup dan pemikiran mereka ini.  Jadikan cerita-cerita ini sebagai bahan sebelum tidup bagi melelapkan mata anak dan biarlah mereka bermimpi dengannya.  Anak-anak kita bergantung kepada apa yang didedahkan padanya.  Minda mereka menyerap segala info, dan jika ia dilakukan dalam usia kanak-kanak, cerita-cerita ini akan kekal dalam minda bawah sedarnya.
  2. Belikan anak-anak buku-buku dan komik berkaitan dengan Nabi, Rasul, Para Sahabat, Ulamak, Tokoh-tokoh Islam dan seumpamanya.  Dulu, buku-buku seperti ini memang sukar diperolehi tetapi kini ia mudah dibeli.  Masuk sahaka ke toko buku Islam, pasti ada.
  3. Cipta watak seorang ‘Superhero’ muslim.  Sudah sampai masanya pihak media yang mahir dalam animasi dan komik mencipta watak seperti Goku dalam siri Dragonball bagi mengantikan watak-watak ‘Superhero’ barat dan Yahudi.  Jika kita terkekang dengan cerita-cerita Nabi dan Para Sahabat sahaja maka ceritanya pastilah perlu sahih dan tidak boleh diada-adakan.  Tetapi apabila kita cipta satu watak ‘Superhero’ muslim yang baru maka jalan ceritanya tidak terbatas kerana ia hanyalah rekaan semata-mata tetapi memiliki unsur-unsur serta jalan cerita yang sangat menarik.  Ditambah pula dengan pelbagai nilai murni yang boleh diterapkan dalam penceritaan itu nanti.  
  4. Setiap kali memuji kelakuan baik anak atau pencapaian cemerlangnya, maka tutuplah dengan kata-kata berikut, “macam inilah baru Nabi sayang dan Allah suka”.  Setiap kali kita berkata begitu, ia akan tersemat dalam hati anak dan tersemat di sanubari mereka.  Apabila kata-kata ini diulang setiap hari dan ribuan kali, ia tertanam dalam minda bawah sedar.  Setiap kali terfikir sahaja mahu melakukan perkara buruk, maka ketika itu juga anak teringat akan Allah dan Rasul lalu membatalkan niat hati yang tidak elok itu.
  5. Ibu bapa juga perlu ceritakan kisah-kisah mereka sewaktu kecil dan kisah-kisah kejayaan mereka sendiri kepada anak-anak.  Dengan cara ini anak akan nampak kehebatan ibu bapanya.  Kita mungkin pernah dapat anugerah, memenangi pertandingan, mewakili sekolah, dipuji guru dan sebagainya.  Cerita-cerita ini pasti seronok apabila disampaikan pada anak-anak.  Tanpa kita sedar, anak-anak akan ambil cerita itu sebagai inspirasi buat diri mereka sendiri.  Ini sangat membantu mereka membuat keputusan.  Misalnya, apabila guru bertanya, siapa yang mahu mewakili sekolah dalam satu pertandingan maka ketika itu anak kita tanpa ragu akan angkat tangan dan menawarkan dirinya.  Sebab dia tahu, ayahnya juga dulu begitu.
  6. Tutup kelemahan diri apabila anak ada bersama.  Tidak dinafikan sebagai manusia normal, ibu bapa juga punya banyak kekurangan dan kelemahan.  Tetapi setiap kali bersama anak, tutuplah kekurangan ini sebaliknya tonjolkan kehebatan.  Biar anak rasa bangga dan kagum dengan kita.  
  7. Jadilah contoh yang baik bagi anak dengan melakukan apa yang disuruh oleh kita pada mereka.  Usah jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus.  Apa yang kita cakap, kita buat.  Barulah anak-anak lihat kita sebagai ibu bapa yang mempunyai kredibiliti yang tinggi.  Cakap serupa bikin.

Berikan Komen Anda Di Sini:


Read More

Tip Penceraian

28/6/2013

Comments

 
Picture
Artikel ini ditulis oleh Dr. Hj. Tengku Asmadi T. Mohamad dan pernah diterbitkan oleh akhbar tempatan.


Berikut adalah Tip bagi mereka yang sudah ditakdirkan mengharungi penceraian. Ia berlaku setiap hari. Malah kadar penceraian semakin hari semakin meningkat. 

Perceraian usah dilihat hanya sebagai jalan penyelesaian kepada pertelingkahan tetapi sebaliknya ia cara terbaik untuk menginsafi diri. 



Percayakan takdir Ilahi dan anggap perceraian itu sebagai hikmah dari-Nya kerana ada kala bagi sesetengah wanita, kehidupan berumahtangga lebih menyeksakan kerana sering didera suami secara fizikal dan mental.

Sekiranya terpaksa dilalui juga, maka tip berikut sangat berguna.

TIP UNTUK LELAKI

1) Tanya diri sendiri apa sebab berlakunya perceraian? Jika salah itu berpunca daripada diri sendiri, jadikan tempoh bercerai sebagai tempoh untuk menginsafi diri dan bukan menyalahkan bekas pasangan. 

2) Jangan memusuhi bekas isteri sebaliknya cuba untuk berbaik-baik kembali. Meskipun bukan sebagai suami isteri. Usah simpan dendam dihati lebih-lebih lagi jika sudah punya anak.

3) Jangan cepat mencari pengganti. Sebaliknya jadikan tempoh bercerai untuk sebagai waktu bertenang. Itu sebab Islam menggariskan mengenai talak satu, talak dua dan talak tiga. 

4) Jangan jadikan anak-anak sebagai mangsa. Bertanggungjawab kepada anak-anak.

5) Jangan serahkan tanggungjawab kepada anak-anak sepenuhnya kepada bekas isteri atas alasan sudah berkeluarga baru. Sebaliknya tanggungjawab dan hubungan bapa dan anak tidak akan putus hingga ke mati.

6) Ambil berat perkembangan anak-anak dan jangan biarkan mereka rasa terabai sehingga menyebabkan mereka bertindak memusnahkan diri sendiri sebagai membalas dendam kepada ibu bapa.


TIP UNTUK WANITA

1) Belajar untuk cepat menerima kenyataan dan jangan mengikut perasaan.

2) Jangan hidup berendam air mata sebaliknya anggap perceraian sebagai hikmah untuk memulakan kehidupan baru. Kekuatan ibu membantu menguatkan semangat anak-anak. 

3) Jika sebelum ini anda tidak bekerja, cepat dapatkan pekerjaan. Urusan turun naik mahkamah memakan masa yang panjang dan wang yang banyak, tanpa pekerjaan anda akan lebih tertekan.

4) Ada kala bekas suami ingkar dalam pemberian nafkah untuk anak-anak, kuatkan diri dan perjuangkan hak anda.

Untuk lebih banyak lagi tips LIKE www.facebook.com/drasmadi 



Comments

Cara Dorong Anak Belajar

26/6/2013

Comments

 
Picture
Artikel ini telah ditulis oleh Dr. Hj. Tengku Asmadi T. Mohamad dan telah diterbitkan oleh akhbar Harian Metro pada Tahun 2011


SOALAN sering ditanya saya setiap kali program motivasi ialah bagaimana mahu menjadikan anak-anak rajin belajar?  Ibu bapa pasti gembira apabila anak pulang dengan keputusan peperiksaan cemerlang, kerja sekolah disiapkan tanpa perlu disuruh dan rajin mengulang kaji pelajaran.

Namun, melahirkan anak bersikap begitu adalah sukar. Sukar tetapi tidak mustahil. Apa yang penting kita perlu tahu cara betul mendisiplinkan anak, tegas dan mesra dalam pendekatan, sabar dalam membimbing dan istiqamah.

Melahirkan anak yang rajin belajar bukannya mengambil masa satu atau dua bulan. Ia mengambil masa bertahun-tahun sebelum kita lihat sikap rajin belajar itu mula berputik dan menjadi tabiat mereka.




Read More
Comments

Pemakanan Membentuk Sahsiah

26/6/2013

Comments

 
Picture
Artikel ini di tulis oleh Dr. Hj. Tengku Asmadi bin T. Mohamad dan telah disiarkan dalam akhbar Harian Metro, Isnin, 24 Jun 2013.

Pada Tahun 2004, Nur Amalina Che Bakri membuat kejutan apabila berjaya mendapat 17A1 dalam keputusan peperiksaan SPM yang diumumkan.  Dia seorang pelajar yang sangat menjaga pemakanannya.  Dia tidak makan makanan ringan, makanan segera dan tidak minum minuman berkarbonat. Dia juga tidak makan organ dalaman binatang.  

Pada Tahun 2007 pula seorang pelajar dari Sekolah Menengah Agama Yan, Kedah, iaitu Azali Azlan membuat kejutan yang lebih besar lagi iaitu dengan mendapat keputusan 21A dalam peperiksaan SPM.  Antara rahsianya ialah dia banyak minum susu, makan kurma dan mengamalkan pengambilan madu. 




Read More
Comments

Apa Juga Berlaku, Salahkan Diri Sendiri

6/4/2013

Comments

 
Picture
Apa Juga Berlaku, Salahkan Diri Sendiri
Oleh:  Dr. Hj. Tengku Asmadi bin T. Mohamad
www.facebook.com/drasmadi
[email protected]

Artikel ini telah dikeluarkan dalam ruangan 'Motivasi Bersama Dr. Tengku Asmadi', Mingguan Malaysia, 7 April 2013

Baru-baru ini saya menjalankan satu program motivasi untuk para pekerja.  Kebanyakan yang datang ditanggung oleh majikan masing-masing kecuali beberapa orang sahaja yang hadir dengan perbelanjaan sendiri.  Menariknya, ketika saya tanyakan apa masalah di tempat kerja maka pebagai maklumbalas yang telah saya terima.  Ada yang stres kerana bos menganaktirikan dia.  Ada yang kata rakan sekerja kaki ponteng hingga mereka terpaksa lakukan lebih banyak kerja dan memikul tugas orang lain.  Ada yang kata organisasi tempat mereka bekerja tidak menghargai pekerja dan pelbagai lagi luahan hati mereka.


Read More
Comments

Doa / Zikir bagi bentengi diri

11/6/2012

Comments

 
Picture
Ibnu Abbas mengatakan, Nabi SAW menjaga Hasan dan Husin dengan zikir. Baginda Nabi berkata "Sesungguhnya Ibrahim dulu menjaga Ismail dan Ishak dengan Zikir (di atas). 


Urwah bin Zubair berkata, satu hari Nabi SAW masuk ke rumah isterinya Ummu Salamah. Di sana ada seorang anak sedang menangis. Nabi SAW berkata pada ibunya, "Kenapa kamu tidak ruqyah dia dari penyakit 'ain?". 'Ain adalah penyakit yang ditimbulkan oleh pandangan yang penuh kedengkian.

Oleh itu, pengunjung blog yang dikasihi Allah sekalian, sebagai hadiah saya titipkan doa/zikir yang menjadi amalan Baginda Rasulullah SAW dan Nabi Allah Ibrahim a.s. ini. Amalkan dan jadikan zikir harian. Banyak kegunaannya sebagai benteng diri dan juga meruqyah anak menangis. 


Zikir dan amalan di bawah ini bolehlah diamalkan bagi membentengi diri dari jin dan syaitan, dari makhluk yang berbisa dan dari kedengkian manusia.  Boleh juga di rukyahkan pada anak-anak.  Bagi anak yang sedang menangis rukyahkan dengan meletakkan tapak tangan kanan atas kepalanya lalu dihembus ubun-ubunnya.  


Picture
Comments

Sayangi Anak Kita

29/4/2012

Comments

 
Picture
Oleh: 
Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
[email protected] 
www.tengkuasmadi.com
www.facebook.com/drasmadi

SEMUA ibu bapa mahukan anak-anak berjaya menjalani kehidupan di dunia dan akhirat. Mereka juga mengharapkan anak menghormati ibu bapa, menjaga solat, berbudi bahasa, rajin, berpelajaran dan berkerjaya. Menurut Perunding Motivasi MAP Training, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, jika kita mahukan anak-anak yang hebat, ibu bapa perlu menjadi manusia hebat yakni tidak jemu berkorban untuk anak-anak.

Pertama, pengorbanan masa untuk anak-anak kerana bagi mereka nilai sebuah kasih sayang itu diukur daripada nilai masa yang diluangkan bersama. “Ini kerana ada ketika anak ingin sampaikan atau ceritakan sesuatu tanpa kehadiran adik-beradik lain,” katanya. Kebanyakan ibu bapa melakukan kesilapan dengan tidak meluangkan masa bersama anak-anak sebelum berdepan dengan permasalahan. Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia, berkata jangan hanya sedar kesilapan apabila anak-anak bermasalah. “Ketika itu keadaan sukar untuk dikawal dan pemikiran anak sudah terbentuk dengan pelbagai andaian serta persepsi negatif. “Sebelum nasi menjadi bubur berikan masa yang cukup untuk bersama dengan anak-anak. “Ambil tahu perkembangan mereka, persekolahan, kawan-kawan, hobi dan segalanya berkaitan kehidupan mereka,” katanya.


Read More
Comments

11 Rahsia Anak Hebat

20/4/2012

Comments

 
Picture
Oleh: 
Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
[email protected] 
www.tengkuasmadi.com
www.facebook.com/drasmadi


Selama tujuh belas tahun menjalankan program motivasi bagi para pelajar dan setelah lebih seratus ribu pelajar yang menyertai program-program yang dijalankan maka didapati anak hebat melakukan sesuatu (sama ada mereka sedar atau tidak) yang tidak dilakukan oleh anak-anak biasa.  Apabila kita bertanya kepada anak ini apa rahsia kehebatannya maka dia sendiri sukar menjelaskannya.  Sebab itu bukan bidangnya.  Namun, cara fikir, sikap, tingkah laku, tindakan serta cara mereka memberi reaksi kepada sesuatu perkara amat berbeza berbanding anak-anak yang biasa pencapaiannya. 

Malah anak hebat kelihatan lebih berdisiplin, punya wawasan, ada sasaran, matang berfikir, mudah bergaul, seimbang hidupnya, bagus akhlaknya serta taat agamanya.  Dia bukan sahaja disenangi oleh gurunya tetapi dalam masa yang sama disukai oleh rakan-rakannya.  Anak-anak sebegini cemerlang dalam akademiknya dan ko kurikulum lalu seringkali ditabalkan sebagai tokoh pelajar oleh guru dan pihak sekolah.  Ibu bapa pasti bangga jika anak mereka termasuk dalam kategori ini.

Jadi, apa yang ada pada anak ini dan tiada pada anak-anak yang lain?  Ada ketikanya anak hebat ini datangnya dari keluarga biasa sahaja.  Malah ada diantara mereka anak yatim yang sudah ketiadaan ayah.  Ada juga yang datang dari keluarga mangsa penceraian.  Pendek kata persekitaran, keadaan keluarga, kesusahan dan kemiskinan tidak menjejaskan dirinya untuk lahir sebagai insan hebat. 

Rahsia pertama: Anak hebat punya matlamat yang jelas dan tidak sanggup berkompromi dalam merealisasikan matlamatnya itu.  Apabila ditanya apa cita-citanya apabila dewasa nanti, anak hebat boleh memberikan jawapan dengan pasti akan cita-citanya itu.  Matlamatnya cukup jelas.  Malah dia tahu kenapa dia mahu mencapai cita-citanya itu dan untuk apa.  Dia cukup yakin bahawa hanya faktor masa sahaja yang menghalangnya mencapai cita-citanya sekarang.  Namun satu hari, ia pasti menjadi kenyataan.

Rahsia kedua: Anak hebat pentingkan pelajarannya.  Dia tahu hanya pelajaran sahaja yang membolehnya mencapai semua cita-citanya.  Sebab itulah anak hebat sentiasa memberikan tumpuan dalam kelas, menyiapkan semua kerja sekolah yang diberikan dan mengulangkaji pelajarannya.  Malah anak hebat menyertai program motivasi luar bagi mendorong dirinya dan memantapkan teknik dan kemahiran belajarnya.

Rahsia ketiga:  Anak hebat tidak malu mengakui kelemahannya dan meminta bantuan bagi mengatasi kekurangannya itu.  Anak hebat sedar bahawa tidak semua orang tahu semua perkara.  Dia juga sedar bahawa setiap orang memiliki kehebatan, bakat serta kebolehan yang berbeza-beza.  Menyedari akan perkara ini maka anak hebat sentiasa mencari bantuan bagi mengatasi setiap kelemahannya itu.  

Rahsia keempat: Anak hebat menjalinkan hubungan yang baik dengan semua orang.  Mereka hormat kedua ibu bapanya dan sentiasa dengar akan nasihatnya.  Anak hebat sentiasa berusaha menyenangkan dan menggembirakan keduanya.  Anak hebat juga sentiasa membantu dan mesra dengan adik beradiknya.  Dia juga disenangi oleh rakan-rakannya dan sentiasa menolong mereka sama ada dalam pelajaran atau urusan hariannya.  Anak hebat sentiasa dipuji oleh guru-gurunya dan menjadi ayam tambatan disekolahnya.  Dia juga sentiasa boleh diharapkan dalam apa juga urusan dan sentiasa bersedia untuk membantu.

Rahsia kelima: Anak hebat sentiasa muhasabah tindak tanduknya dan memantau prestasi pencapaiannya.  Dia tidak membiarkan kemajuannya terbantut.  Dia tahu dimana dia berada sama ada semakin hampir atau masih jauh dari sasarannya.  Apabila dia dapati sesuatu perlu dilakukan bagi memperbaiki prestasinya lalu dia ambil tindakan yang proaktif dan melakukannya tanpa menunggu disuruh, diarah atau ditegur.

Rahsia keenam:  Anak hebat sentiasa lakukan yang terbaik dan bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara.  Bagi seorang anak hebat tiada pekerjaan yang main-main dalam falsafah hidupnya.  Apa sahaja yang perlu dilakukannya maka dibuat sebaik mungkin.  

Rahsia ketujuh:  Anak hebat istiqamah dalam usahanya.  Anak hebat percaya kejayaan besar yang mahu dicapainya esok hari adalah himpunan kejayaan-kejayaan kecil yang diperolehinya setiap hari.  Oleh itu, dia sentiasa istiqamah.  Dia bukan seorang yang hari ini rajin esok tidak atau hari ini buat sikit esok banyak.  Sebaliknya dia membuat perancangan belajar dan konsisten belajar mengikuti perancangan tersebut tanpa bosan atau jemu.

Rahsia kelapan:  Anak hebat sentiasa belajar dari orang lain dan suka hadiri pelbagai program, aktiviti dan seminar yang membuka mindanya.  Anak hebat mempunyai mentor atau model ikutan.  Dia belajar dari mentornya dan lakukan apa yang model ikutannya lakukan.  Dia tahu bahawa kejayaan yang mahu dicapainya itu telah pernah dicapai oleh orang lain.  Sebab itulah mereka ikuti pelbagai program bagi mengetahui apa orang hebat lakukan dan meniru perlakuan tersebut.

Rahsia kesembilan:  Anak hebat sentiasa ingat Allah.  Anak hebat tahu manusia ini hanya mampu berusaha tetapi Allahlah yang akan menentukan segalanya.  Dia juga tahu jika dirinya engkar akan perintah Allah, bergelumang dengan dosa dan maksiat maka Allah akan tutup hatinya dan hilang keberkatan dalam usahanya.  Sebab itulah anak hebat menjaga solat lima waktunya, melakukan banyak amalan sunat, membaca al-quran setiap hari, berpuasa sunat Isnin dan Khamis, ada amalan-amalan doa hariannya dan basah lidah serta hatinya dengan zikir.

Rahsia kesepuluh:  Anak hebat tidak pernah sombong dengan apa yang dicapai atau diperolehinya.  Dia sentiasa bersyukur apabila mencapai kejayaan dan kecemerlangan dan berkongsi kegembiraannya dengan mereka yang ada disekelilingnya.  Anak hebat tidak pernah menunjuk-nunjuk atau mendabik dada.  Dia tahu sifat sombong hanya akan merosakkan akhlak dan amalannya.  Dia berterima kasih kepada semua orang setiap kali beroleh kejayaan.  Padanya apa juga kejayaan yang diperolehinya itu adalah kejayaan mereka yang sentiasa bersama-sama dengannya.

Rahsia kesebelas:  Anak hebat sedar bahawa hanya dia yang boleh tolong dirinya bukannya orang lain.  Anak hebat tahu bahawa orang lain boleh membantu sedikit sahaja tetapi dirinyalah yang akan membawanya ke puncak jaya.  Kalau tidak faham satu dua perkara bolehlah bertanya pada guru.  Itu pun setelah diri sendiri berusaha memahami dan menyelesaikannya dahulu.  Bukan serahkan semua perkara bulat-bulat pada guru atau meminta bantuan penuh dari rakan.  

Bagi memudahkah ibu bapa melahirkan anak hebat ini maka dia mesti terbuka mindanya dan didorong agar mahu melakukan kesemua sebelah rahsia di atas itu.  Sepanjang cuti sekolah ini Seminar Motivasi Alihan Pelajar (MAP) selama dua hari bagi melahirkan anak-anak hebat akan diadakan di Johor Bahru dan di Kuala Lumpur.  Motivasi ini telah dijalankan selama tujuh belas tahun dan telah melahirkan lebih seratus ribu pelajar.  Anak hebat perlukan satu program yang juga hebat dan insya Allah, MAP adalah jawapannya.  Oleh itu ibu bapa perlu berkorban sedikit bagi memastikan anak-anaknya lebih berani selepas ini. Adalah lebih mudah bagi mencipta kejayaan apabila kita ada mentor, tahu cara dan tahu rahsianya.

Untuk mengetahui tentang lokasi serta tarikh seminar yang terkini mohon hubungi pejabat Motivasi Alihan Pelajar iaitu 03-91013622 / 016-5580719 atau 05-3134622 / 016-5580619 atau layari laman web kami di www.laman-map.com.


Read More
Comments

Bina Keberanian Dalam Diri Anak

1/3/2012

Comments

 
Picture
Oleh: 
Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad

[email protected] 
www.tengkuasmadi.com
www.facebook.com/drasmadi

Anak-anak yang berjaya di sekolah sama ada dalam pelajaran atau ko-kurikulum adalah mereka yang ada keberanian.  Berani mencapai kecemerlangan, bercakap di depan orang ramai, bergaul, bertanya apabila tidak faham, menjadi ketua, memegang jawatan, mewakili kelas atau sekolah dan sebagainya.  Apabila anak-anak menunjukkan keberanian maka mereka akan diberikan pelbagai peluang. 

Mereka yang aktif di alam persekolahan adalah kerana mereka berani untuk melibatkan diri dalam kelas serta program yang dianjurkan.  Dengan keberanian mereka mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan.  Semua ini sangat membantu anak-anak di alam dewasa nanti.  

Bayangkanlah, ketika anak orang lain sudah boleh berdikari sana sini, anak kita hendak bertanya sesuatu pada cikgu pun masih minta orang lain temankan.  Ketika anak orang lain berani ikuti program-program perkemahan, anak kita tidak mahu turut serta sebab tiada kawan.

Sebab itulah anak-anak perlu ditanam dengan sifat berani pada usia yang seawal mungkin.  Berani bukanlah sesuatu yang hadir ketika lahir sebaliknya sifat ini terhasil bergantung kepada cara ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak mereka.  Ibu bapa perlu tahu cara terbaik menjadikan anak-anak mereka seorang yang berani secara bertempat.  

Sebab kita tidak mahu pula apabila anak menjadi berani tidak bertempat lalu dia melawan dan biadap dengan guru, merempit dan menyertai lumba haram, mencuri, memukul, bergadul dan sebagainya.  Sebab kelakuan negatif sebegitu juga memerlukan satu bentuk keberanian.

Berikut adalah beberapa tip yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menjadikan anak-anak seorang yang berani:

1)    Usah cepat membantu anak dalam pelbagai perkara.  Semua ibu bapa sayangkan anak-anaknya.  Tetapi usah jadikan rasa sayang sebagai alasan untuk cepat membantu mereka.  Bukanlah salah membantu anak-anak kita tetapi ada ketikanya anak-anak perlu diberikan peluang mencuba dan melakukan kesilapan.  Dari kesalahan dan kesilapan inilah mereka belajar.   Ketika anak masih bayi, apabila dia mula pandai berjalan maka dia mula belajar naik tangga.  Biasanya ibu bapa akan terus dukung anaknya dan bawa naik ke tingkat atas sebab takut anak jatuh.  Ibu bapa yang prihatin sebaliknya akan mengawasi dan membiarkan anak-anaknya menapak satu anak tangga ke anak tangga yang lain.  Dari situ anak itu belajar.  



Read More
Comments
<<Previous
Forward>>

    Author

    Dr. Tengku Asmadi adalah seorang penulis, 'public speaker' dan motivator.

    Archives

    March 2019
    October 2017
    May 2016
    November 2015
    September 2015
    July 2015
    June 2015
    June 2013
    April 2013
    June 2012
    April 2012
    March 2012
    November 2011
    August 2011

    Categories

    All
    Doa Dan Amalan
    Dunia Pelajar
    Keluarga
    Motivasi Diri
    Rawatan Islam
    Tip Mendidik Anak

    RSS Feed

Designed by Team MAP Training - 013 433 4622