Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
  • Utama
  • Motivasi Alihan Pelajar
  • NLP For Students
  • NLP For Business
  • Kursus Pekerja
  • Blog
  • Hubungi Saya
  • PowerParenting
  • JuzQ30
  • Buku
  • Profil Saya
  • BukuPowerParenting
  • BusinessPrivacy
  • joinemailparenting
  • ebookpercuma
  • ecommerce
  • motivasiosem
  • downloadosem

Jaga Keberkatan Rezeki

3/8/2011

Comments

 
Picture
Oleh:  Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad.
Nota:  Artikel tulisan saya ini telah diterbitkan oleh Majalah Harmoni, Mei 2011.

Dalam hidup ini semua orang perlu mencari rezeki apabila sudah sampai usia dan waktunya.  Rezeki yang dicari ini pula boleh dengan pelbagai cara, cara yang baik boleh dan cara yang buruk juga boleh.   Tepuk dada tanyalah iman kita.  Tuntutan hidup dan kos saraan yang semakin tinggi memerlukan setiap dari kita melakukan lebih dari satu pekerjaan bagi menampung perbelanjaan harian, bil-bil, ansuran rumah dan kenderaan, yuran dan keperluan sekolah anak-anak dan sebagainya.  Ada yang berniaga pasar malam, menjual nasi lemak dan pisang goreng, menceburkan diri dalam perniagaan MLM, dan sebagainya.  Bagi mereka yang malas melakukan lebih dari satu kerja mula memikirkan cara yang lebih cepat untuk menambah pendapatan seperti pecah amanah, menipu dan rasuah.  Walau pun cara itu salah, demi keseronokan dan janji dunia, mereka sanggup dan berani melakukannya.

Yang penting dalam mencari rezeki bukannya berapa banyak yang kita dapat tetapi sebaliknya ada atau tidak keberkatan dalam rezeki itu.   Pernah satu ketika seorang bapa datang kepada saya dan mengadu hal anak-anaknya.  Katanya dia mempunyai lima orang anak, anak yang pertama hingga ketiga semuanya bagus dan cemerlang tetapi anak keempat dan yang bongsu sangat bermasalah.  Mereka suka keluar malam, tidak solat, menipu, melepak, malas belajar dan degil.  

Setelah mendengar keluhan bapa itu lalu saya cuba menduga, mungkin cara didikannya tidak sama dengan tiga anak yang pertama, atau masanya dengan mereka kurang, atau beliau tidak lagi menjadi pendengar yang baik bagi anak-anaknya.  Namun semuanya itu dinafikan oleh sibapa.  Lalu saya minta bapa itu semak sumber makanan kalau-kalau ada dari sumber yang haram.  Ketika itu wajahnya berubah.  Dia akui bahawa sewaktu membesarkan tiga anak yang pertama dia begitu dedikasi dan jujur.  Dia benci sebarang sogokan dan rasuah.  Tetapi apabila sudah bertahun-tahun bekerja dan melihat ramai orang disekelilingnya makan rasuah macam makan nasi maka dia merasakan bahawa semuanya itu adalah amalan biasa lalu turut terlibat sama.  Dua anak terakhirnya menjadi mangsa dari rezeki haram itu.  Bila sudah begini jadinya pada siapa mahu disalahkan,  pada anak atau pada diri sendiri.  Bapa itu sedar akan kesilapannya lalu menangis tetapi semuanya sudah berlaku.  Saya minta beliau buat solat taubat dan minta ampun pada Allah.

Apabila rezeki tidak berkat ujian datang bertimpa-timpa.  Telefon bimbit rosak, kereta rosak, emak sakit, rumah dimasuki pencuri, kena samun dan macam-macam lagi.  Semuanya tujuannya hanya satu iaitu supaya duit yang kita dapat itu keluar dari poket kita secara terpaksa.  Kalau selalu sangan Allah uji, habis satu masalah datang pula masalah yang lain, maka mungkin sudah sampai masanya kita muhasabah diri dan bertanya sama ada rezeki kita itu berkat atau tidak?  Kalau tidak berkat apa puncanya?  Sebab ada ketikanya Allah uji sesorang itu bagi menaikkan darjat dan martabatnya tetapi ada ketikanya pula sebagai satu pengajaran dan bala baginya.

Antara kesan daripada rezeki yang berkat:

1)   Kita sentiasa merasa cukup dengan rezeki yang diperolehi sentiasa cukup malah berlebihan.  Tidak terfikirkah kita bagaimana orang yang tinggal di kampung dan luar bandar boleh membesarkan sepuluh orang anak dengan hanya membanting tulang menoreh getah atau  menuai padi.  Sedangkan kita di bandar dengan gaji beribu dan hanya dua tiga orang anak tidak pernah merasa cukup.  Malah ada yang bergaji lebih sepuluh ribu ringgit tetap tidak merasa cukup. Jika rezeki kita berkat maka Allah akan cukupkan keperluan kita.

2)   Akhlak dan perilaku suami, isteri dan anak-anak hebat.   Banyak masalah sosial anak-anak dan penceraian berlaku hasil dari rezeki yang tidak berkat.  Apabila rezeki itu berkat ia akan dapat dilihat melalui aklah anak-anak yang positif dan perilaku mereka yang cemerlang.  

3)   Mudah menjaga solat dan melakukan ibadah lain seperti umrah dan haji.  Apabila rezeki yang diperolehi itu berkat, hati kita bersih dan minda kita tenang.  Mudah bagi kita untuk solat dan beramal ibadat.  Rezeki yang berkat akan memudahkan kita sampai ke tanah suci Mekah.  Ramai orang yang mendapat rezeki yang tidak berkat takut untuk ke tanah suci kerana bimbang akan balasan Allah secara tunai di dunia ini.  Walhal, tanah sucilah tempat untuk bertaubat, membersihkan diri dari dosa dan memohon keberkatan.

4)   Orang di sekeliling suka kita.  Apabila rezeki kita berkat semua orang sayang kita.  Sebab kita suka belanja mereka dan mehulurkan sedekah dan bantuan.  Orang suka dekatikita kerana mereka dapat rasakan keikhlasan dan aura positif yang terpancar dari dalam diri kita.

5)   Orang suka datang rumah dan menziarahi kita.  Rumah kita bagikan magnet.  Ada sahaja saudara, kenalan atau jiran yang mengunjungi kita.  Mereka yang datang itu akan bawa pahala dan pukangnya mereka akan menghapuskan dosa kita.  Malah, rezeki pula bertambah murah dan ada sahaja yang kita perolehi tanpa disangka-sangka.

6)   Anak-anak cemerlang dalam pelajarannya.  Apabila rezeki itu berkat, jiwa dan minda anak-anak juga bersih.  Jiwa dan minda yang bersih membolehkan mereka tumpu pada pelajaran dan apa yang dipelajari itu pula mudah difahami dan lekat dalam kepala.  Hasilnya, keputusan peperiksaan anak-anak cemerlang.  Malah anak kita juga menjadi contoh dalam banyak perkara dan aktiviti disekolah.  Dia dilantik untuk memegang jawatan dan menjadi kesayang guru dan rakan.

7)   Doa yang makbul.  Keberkatan rezeki membuatkan permohonan dan doa kita dimakbulkan oleh.  Sebab Nabi SAW memang ada menegaskan bahawa antara faktor yang menghalang makbulnya doa itu adalah makanan dari sumber yang haram.

Begitulah antara kesan positif yang diperoleh daripada rezeki yang berkat.  Kita perlu faham rezeki yang berkat bukan sahaja bermakna bebas dari rasuah atau wang diperolehi daripada aktiviti yang haram.  Ada ketikanya, sikap curi tulang, tidak amanah dalam kerja, tidak mencapai kualiti kerja, malas dan sebagainya sewaktu menjalankan pekerjaan boleh menyumbang kepada tiada keberkatan rezeki.  Sebab itulah, dalam apa juga yang kita lakukan dalam mencari rezeki maka lakukanlah dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan amanah.  Insya Allah, apabila rezeki berkat kita dinaikkan pangkat dan satu hari mendapat anugerah pekerja cemerlang.

Comments

Rahmat Di Sebalik Dugaan

3/8/2011

Comments

 
Oleh:  Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
Nota:  Artikel tulisan saya ini telah diterbitkan oleh Majalah Harmoni, Jun 2011.

Al-Fatihah.  Kita dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di Hulu Langat, Selangor yang menimpa Rumah Anak Yatim dan Madrasah At-Taqwa.  Ketika artikel ini ditulis, 16 orang mangsa telah meninggal dunia dan 9 yang lain cedera.  Dua daripada mangsa terpaksa dipotong kakinya.  Semoga roh mereka yang meninggal dunia ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan solehah dan mendapat keampunan serta rahmat Allah.  Kepada mereka yang terselamat pula, semoga diberikan kesabaran dan kekuatan dalam mengharungi ujian Allah yang menimpa ini.  Yakinlah, ada hikmah dan rahmat disebalik dugaan ini.  Kita sedih, sebak, pilu, simpati dan pelbagai lagi bentuk perasaan yang ada.  Seorang sahabat berkata kepada saya, kenapa Tuhan tidak berikan bala dan bencana ini kepada pusat judi, pusat hiburan dan sarang pelacuran.  Kenapa mesti rumah anak yatim yang tidak berdosa ini.  Saya hanya senyum dan berkata wallahu a’lam.  Hanya Allah yang lebih mengetahui.

Fikirkanlah sejenak.  Sebelum peristiwa tanah runtuh ini berapa ramaikah diantara kita yang pernah tahu akan kewujudan rumah anak yatim ini?  Mungkin orang Hulu Langat sendiri pun masih ramai yang tidak mengetahuinya.  Rumah saya di Batu 10 Hulu Langat dan rumah anak yatim ini pula letaknya di Batu 14.  Jaraknya hanya empat batu sahaja dan saya sendiri tidak pernah mengetahui tentangnya.  Berapa ramai Menteri yang pernah dengar nama rumah anak yatim ini dan jika mereka meminta sumbangan sebelum kejadian ini agak-agaknya berapa banyak yang mereka dapat?  Kematian adalah sesuatu yang pasti dan apabila sampai waktunya semua kita pasti akan menghadapinya.  Jangan kata dalam tragedi sebegini malah kalau menyorok dalam bangunan kalis nuklear sekali pun Malaikat Maut akan tetap datang juga.  Anak-anak yang menjadi mangsa insya Allah menjadi penghuni syurga.  Tetapi hikmah besar yang Allah berikan kepada rumah anak yatim ini ialah, kini semua orang berlumba-lumba memberikan bantuan dari segi pakaian, makanan, tempat tinggal dan wang.  Insya Allah dengan bantuan ini nanti pihak pengurusan rumah anak yatim ini dapat wujudkan tempat tinggal yang lebih baik dan pendidikan yang lebih sempurna.  Bukankah itu rahmat Allah.

Apakah hikmah di sebalik dugaan:

1.     Allah tingkatkan darjat dan keimanan kita.  Dalam surah al-Ankabut ayat 2, Allah telah berfirman yang mafhumnya, “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji?”.  Bermakna apa juga musibah, bala atau ujian ia Allah datangkan dan izinkan berlaku bagi meningkatkan lagi keimanan dan darjat seseorang hamba itu di sisi Nya.  Ada orang apabila ditimpa masalah, mereka semakin jauh dari Allah kerana kufur mereka.  Ada pula orang, setiap ujian yang datang akan mendekatkan lagi diri dan pergantungannya kepada Allah.  Hendaklah kita yakin bahawa tidak akan berlaku sesuatu musibah itu kecuali dengan kehendak Yang Maha Pencipta.

2.     Allah tarik sedikit nikmat untuk diberikan nikmat yang lebih besar.  Ada ketikanya Allah berikan kita ujian dan menarik nikmat yang telah diberikannya kepada kita selama ini bagi melihat dan menguji kesabaran kita sebagai hamba.  Sekiranya kita sabar dan redha maka Allah akan tambah dengan nikmatnya yang berlipat kali ganda lagi.  Kita menyesali akan nikmat yang telah Allah uji namun fikirkanlah betul-betul kita masih punya dua mata, dua telinga, dua tangan dan kaki, anak-anak, kesihatan tubuh badan, kasih sayang kedua ibu bapa, pekerjaan yang tetap, rumah tempat berteduh dan banyak lagi.

"Maka nikmat Rabb kamu yang manakah yang kamu dustakan?"
(QS. Ar-Rahman: 13)

Tiga puluh dua kali Al

3.     Allah berikan satu musibah bagi mengalih musibah yang lebih besar.  Ada ketikanya Allah berikan satu musibah kecil berlaku ke atas kita kerana menghalang satu musibah yang lebih besar.  Misalnya dalam perjalanan ke pejabat tiba-tiba kereta kita rosak dan memaksa kita berhenti di bahu jalan.  Kita mungkin marah sebab ada urusan penting yang perlu disegerakan hari itu.  Tapi apa pula persepsi kita tidak jauh daripada tempat kita berhenti itu telah berlaku satu kemalangan yang meragut nyawa dan kita tahu kalau tidak kerana kereta kita rosak maka kita adalah salah seorang yang mungkin terlibat dengan kemalangan tersebut kerana beza masanya hanya beberapa minit sahaja daripada masa berlaku kerosakan pada kereta tersebut.

4.     Sebagai menghapus dosa.  Dalam hidup ini tiada siapa yang tidak melakukan dosa sama ada dosa-dosa kecil atau besar.  Oleh itu Allah turunkan sedikit ujian dan dugaan bagi menguji sejauh mana kita sanggup menerimanya.  Sekiranya kita bersyukur maka Allah hapuskan dosa-dosa kita itu.

5.     Memberikan kesedaran kepada kita.  Jika manusia ini tidak ditimpa musibah sehinggakan segala apa yang mereka mahukan mereka dapat dan semua yang mereka lakukan, menjadi; maka akan timbullah rasa sombong, riak, takbur dan sebagainya.  Ujian dan bala yang Allah turunkan itu adalah sebagai peringatan kepada kita sebagai hamba bagi mengingatkan diri kita betapa lemah dan kerdilnya kita.  Bak kata pepatah Melayu ‘bila terhantuk barulah tertengadah’.   Bila kena barulah mahu beringat-ingat. 

6.     Memberikan iktibar kepada orang lain.  Setiap dugaan yang berlaku sebenarnya mengandungi banyak rahsia, maksud dan ingatan yang tersirat bukan sahaja buat mereka yang ditimpa musibah tetapi juga buat seluruh umat manusia.  Bagi mereka yang berfikir dan mahu mengambil pengajaran maka mereka pasti dapat lihat bagaimana Allah boleh turunkan bencana dan dugaan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.  Tiada siapa pun yang boleh lari dari ujian Allah ini dan hanya mereka yang beriman dan bertakwa sahaja yang mampu tenang disaat berlakunya musibah dan ujian.

7.     Tanah subur bagi mereka yang mahu menyemai.  Musibah yang menimpa orang lain membuka ruang dan peluang kepada mereka yang mempunyai lebihan harta dan wang untuk menderma dan menghulurkan bantuan.  Apabila apa yang diberikan itu dengan niat yang ikhlas maka Allah akan lipatgandakan lagi rezeki kita seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 265 yang mafhumnya:

“Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah seumpama sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, dan pada tiap-tiap tangkai menghasilkan 100 biji. Allah melipatgandakan pahala kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) serta Maha Mengetahui.”   Begitulah luasnya rahmat Allah yang meliputi seluruh langit dan bumi.

8.     Tanda Allah masih sayangkan kita.  Setiap dugaan yang Allah berikan itu adalah sebagai tanda Tuhan masih sayangkan kita lalu diberikan oleh Nya peringatan agar kita cepat sedar dan beristighfar serta kembali ke pangkal jalan.  Jika Allah tidak sayangkan kita maka pastilah Allah biarkan sahaja kita lakukan sesuka hati dan dibiarkan mati dalam keadaan sesat dan kufur.  Allah suka apabila kita memujiNya, meminta kepadaNya dan merintih di hadapanNya.  Sebab itulah Allah berikan kita sedikit kesusahan agar kita tidak terpedaya dan lalai dalam kehidupan yang sementara ini.

Begitulah hebatnya Allah s.w.t.  Disebalik dugaan, musibah dan ujian itu tersembunyi pelbagai nikmat dan rahmat yang besar.  Hanya hati yang celik sahaja mampu melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.  Ada ketikanya kita rasakan sesuatu itu baik untuk kita tetapi sebenarnya tidak dan begitu juga sebaliknya.  Oleh itu berserahlah kepada Allah dengan penyerahan yang sebenar-benarnya.  Teruslah berfikiran positif dengan mencari hikmah, kebaikan dan kekuatan atas segala ujian, keburukan dan kelemahan.

Comments

Pupuk Sifat Berlapang Dada

3/8/2011

Comments

 
Oleh:  Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad
Nota:  Artikel tulisan saya ini telah diterbitkan oleh Majalah Harmoni, Julai 2011.

Salah satu ciri-ciri orang cemerlang adalah sifat berlapang dada.  Berlapang dada mudah dikatakan tetapi sukar untuk diamalkan.  Bukan senang bagi berlapang dada apabila orang menfitnah, mengutuk, mengeji, mencerca, mengkritik dan mengaibkan kita.  Namun kalau kita mampu hadapi semua itu dengan hati yang tenang dan ingat Allah maka ganjaran Allah sangatlah besar di akhirat nanti. 

Satu perkara yang kita mesti terima ialah walau bagaimana baik dan mesra pun kita, di luar sana tetap akan ada orang yang tidak berpuas hati.  Itulah realiti kehidupan yang perlu diakui.  Kadang kala, kita buat baik berpuluh kali tetapi hanya satu kesilapan dan kesalahan kecil yang dilakukan lalu semua perbuatan baik itu seolah-olah terhapus dan yang salah itulah juga diulang sebut berkali-kali.  Apa yang boleh kita lakukan?  Mahu dimarah dan ditegur pun tidak bermakna sebab kalau orang sudah tanam dalam fikirannya yang kita ini tidak bagus, tidak elok dan tidak baik maka semuanya dilihat sebagai cacat belaka.

Oleh itu tidak perlulah kita fikirkan sangat pasal orang.  Lebih baik kita fokus kepada diri kita sendiri.  Apakah yang boleh dilakukan bagi berhadapan dengan situasi sebegini.  Salah satu senjatanya ialah berlapang dada.

Berikut adalah beberapa tip untuk kita menanam dan memupuk sifat berlapang dada:

1)    Tiada yang kebetulan.  Ingatlah setiap apa yang berlaku dalam hidup ini tiada yang kebetulan.  Semuanya berlaku dengan keizinan, perancangan dan pengetahuan Allah.  Apabila Allah timpakan sesuatu musibah maka yakinlah disebalik musibah itu terkandung seribu hikmah.  Mungkin Allah sedang menguji tahap keimanan kita; atau meningkatkan darjat kita; atau bagu menyucikan diri kita dari dosa-dosa; atau menambah kebaikan atas diri kita.   Apabila kita yakin semua perkara baik dan buruk itu datangnya dari Allah dengan tujuannya yang tertentu maka hati akan merasa tenang.

2)    Kekal Fokus.  Usah sekali-kali fitnah, umpatan dan cercaan itu difikirkan hingga fokus kita pada matlamat, tugas dan tanggung jawab tersasar.  Tanya diri sama ada kita ini berjiwa besar atau berjiwa kecil.  Kalau kita berjiwa besar maka lihatlah kapal besar yang berlayar di lautan tidak terjejas haluannya jika dipukul ombak-ombak kecil.  Sebaliknya bot dan perahu kecil mungkin berpatah balik atau karam dengan pukulan ombak-ombak kecil ini.  Lakukan sahaja tugasan dan aktiviti seperti biasa dan biarlah suara-suara kerdil itu tenggelam ditelan masa.  Sebab kalau kita sibuk melayan kerenah manusia maka kita sibukkan diri kita bagi perkara yang tidak membawa hasil  Lebih baik kita salurkan tenaga, fokus dan masa kita kepada sesuatu yang pasti menjadikan kita lebih cemerlang di kemudian hari nanti.

3)    Selidik siapa yang berkata-kata itu.  Ada kritikan yang membina dan ada pula dengan tujuan yang jahat atas sebab irihati, cemburu dan sakit hati.  Oleh itu usah tepis semua kritikan.  Cuba buat penilaian terlebih dahulu.  Kalau kritikan itu dilontarkan dari orang yang bersembunyi di sebalik identiti palsu, meski pun bernas, namun tujuannya boleh dipertikaikan.  Oleh itu, lupakan sahaja.  Sebaliknya apabila kritikan itu datangnya dari seseorang yang arif dalam bidang kita, profesional, berilmu dan ada kredibiliti maka berlapang dadalah dan terima kritikan tersebut bagi memperbaiki dan meningkatkan diri.  Sebab sebagai manusia kita pasti punya kelemahan dan kekurangan serta sentiasa ada ruang bagi kita menjadi orang yang lebih baik.

4)    Bersyukurlah.  Langkah terbaik untuk memiliki sifat berlapang dada ialah bersyukurlah.  Sebab orang tidak akan cemburu, menfitnah, mengganggu urusan kita kalau kita tidak punya apa-apa kelebihan dan kejayaan.  Orang hanya sedar akan kehadiran kita apabila kita mula menonjol.  Kalau kita sekadar orang biasa-biasa dan punya apa-apa maka tiada sesiapa pun yang peduli dan ambil pusing.   Ini bermakna anda berada di landasan yang betul menuju ke puncak jaya.  Terus tabah, sabar dan istiqamah.  Insya Allah satu hari walau ditolak sekali pun anda tidak mampu ditumbangkan lagi.  Bersyukurlah.

5)    Senyumlah.  Apa lagi yang mampu kita lakukan selain senyum.  Senyumlah sebab dalam hati kita tahu bahawa orang yang tidak suka kita itu sebab mereka belum kenal kita.  Teruslah menguntum senyum, memberi salam dan berbuat baik.  Lama kelamaan mereka juga akan malu pada diri sendiri.  Malah mungkin satu hari nanti mereka tidak dapat elak dari meminta bantuan dan pertolongan kita.  Ketika itu peluang terbuka luas bagi kita tunjukkan bahawa kita tidak seperti apa yang mereka sangkakan selama ini.  Bantu dan tolonglah mereka dengan senyuman serta keikhlasan.

6)    Maafkan semua orang dan doakan mereka.  Ia sesuatu yang sukar dilakukan tetapi kesannya amat nyata pada jiwa.  Walau orang lontarkan najis dan sampah, doakanlah mereka kebaikan.  Maafkan mereka dan rasa sendiri bagaimana Allah akan campakkan nikmat iman dan ketenangan jiwa yang cukup hebat ke dalam hati kita.  Pernah satu ketika dalam Tahun 1991 dahulu, ketika saya sedang belajar di Australia, ada orang mengeluarkan semua duit simpanan tanpa pengetahuan saya.  Jumlahnya lebih kurang RM20,000 dan ia satu jumlah yang besar pada masa itu.  Pada awalnya saya doakan agar Allah timpakan balasan yang setimpal atas sipelaku.  Satu hari, entah bagaimana, hati saya tergerak berikannya kemaafan dan doakannya keampunan serta kebaikan.  Ketika itu juga saya rasakan bagai satu beban terangkat dari kepala dan hati merasa tenang setenang-tenangnya.  Begitulah hebatnya kuasa doa dan kemaafan.

Comments

    Author

    Dr. Tengku Asmadi adalah seorang penulis, 'public speaker' dan motivator.

    Archives

    March 2019
    October 2017
    May 2016
    November 2015
    September 2015
    July 2015
    June 2015
    June 2013
    April 2013
    June 2012
    April 2012
    March 2012
    November 2011
    August 2011

    Categories

    All
    Doa Dan Amalan
    Dunia Pelajar
    Keluarga
    Motivasi Diri
    Rawatan Islam
    Tip Mendidik Anak

    RSS Feed

Designed by Team MAP Training - 013 433 4622